Kuala Lumpur: Persiapan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King dilihat sedikit terganggu selepas salah seorang pemain mengalami masalah kesihatan sebelum Kejohanan Dunia 2025 bermula Isnin depan.
Namun begitu, jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyatakan demam dialami Wan Arif tidak begitu membimbangkan apabila pemain itu sudah mula mengikuti latihan pada hari ini.
Situasi itu sedikit sebanyak mencetus kebimbangan kepada jurulatih kelahiran Indonesia itu kerana Wan Arif–Roy King perlu turun di pusingan pertama menentang wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi–Hiroki Okamura.
“Arif demam dan selesema, jadi dia tidak dapat berlatih pada Isnin. Hari ini dia sudah kembali berlatih bersama yang lain tetapi hanya mampu mengikuti dua daripada program latihan dirancang.
“Keadaannya masih belum 100 peratus namun diharapkan esok dia boleh pulih sepenuhnya agar dia betul-betul cergas sebelum pertandingan bermula di Paris.
“Kalau tanya saya sama ada bimbang atau tidak, semestinya saya bimbang. Tetapi melihat keadaannya hari ini, saya masih percaya dia boleh bermain. Harap-harap dia segera pulih,” katanya.
Semalam, pemain kelahiran Kelantan itu tidak dapat mengikuti latihan kerana keadaan dirinya itu dan Herry terpaksa memantau secara rapat situasi tersebut.
Selain itu, Herry berpendapat wakil negara itu kini berada dalam prestasi baik selepas meraih kejuaraan Jelajah Dunia pertama mereka di Terbuka Macau awal bulan ini.
“Pada tahap ini, jurang antara pasangan adalah sangat kecil. Siapa lebih cergas serta lebih bersedia dari segi mental dan fizikal, itulah yang akan mendapat kelebihan. Sebab itu pemulihan Arif sangat penting,” katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Dunia adalah pada 2022 menerusi Aaron Chia–Soh Wooi Yik di Tokyo.