Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Siri Jelajah Australia 60 peratus capai objektif

PENGENDALI skuad hoki remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menilai The Young Tigers berjaya mencapai 60 peratus objektif ditetapkan sepanjang Siri Jelajah Australia yang berakhir pada Jumaat.

Meskipun gagal menepati sasaran kemenangan sekurang-kurangnya tiga daripada empat perlawanan, bekas pemain negara itu menegaskan lawatan berkenaan memberi pengalaman berharga khususnya dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas pasukan lawan.

“Tujuan utama adalah melihat permainan pantas Australia dan bagaimana kita menyesuaikan diri. Saya boleh katakan 60 peratus objektif tercapai,” katanya kepada Sukan Sinar.

Mengulas aspek pertahanan, Nor Saiful berkata, barisan benteng negara menunjukkan aksi baik walaupun tewas 0-4 dalam perlawanan terakhir, namun kemahiran membantu serangan perlu dipertingkatkan.

“Dalam hoki moden, pemain pertahanan perlu naik membantu serangan. Itu yang kita perlu perbaiki.

“Bagaimanapun keupayaan menjaringkan gol masih menjadi kelemahan utama terutama apabila berdepan pasukan berstatus tinggi. Ketiadaan penyerang utama, Mohammad Harris Iskandar Osman, akibat kecederaan turut menjejaskan penyudah pasukan.

“Banyak peluang disia-siakan terutamanya menentang Western Australia dalam aksi terakhir,” katanya.

Menurut Nor Saiful, antara pembelajaran terbesar di Australia ialah pendedahan terhadap kelemahan-kelemahan skuad remaja negara yang perlu diperbaiki segera menjelang Piala Dunia Remaja di Chennai pada hujung November.

Bagaimanapun beliau tidak merancang melakukan rombakan besar dalam senarai pemain sebaliknya hanya kemungkinan menggugurkan seorang atau dua pemain.

Fasa seterus jelas Nor Saiful, skuad remaja akan mengharungi Jelajah China pada 8 September membabitkan lima perlawanan berkualiti sebelum beraksi di Piala Sultan Johor pada Oktober sebagai persediaan terakhir ke Piala Dunia.

SIRI JELAJAH AUSTRALIA

Keputusan

Young Tigers 4-3 UWA Hockey Team

Young Tigers 0-1 Perth Thundersticks

Young Tigers lwn 0-4 Thundersticks

BATAL

Young Tigers lwn Westside Wolves