Kuala Lumpur: Malaysia muncul juara keseluruhan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 selepas merangkul dua kejuaraan di Arena Badminton Perak, hari ini.
Malaysia meraih kemenangan dalam acara beregu campuran dan perseorangan lelaki, namun peluang menambah gelaran ketiga dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian selepas tunduk di final.
Dalam aksi beregu campuran, gandingan bukan pilihan, Tan Zhi Yang-Nicole Tan membuktikan kemenangan mereka ke atas pilihan utama Indonesia, Zaidan Arrafi Awal Nabawi-Jessica Maya Rismawardani sebelum ini bukan sekadar nasib apabila menewaskan lawan juga dari Indonesia, Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana di pentas akhir.
Zhi Yang-Nicole, yang juga separuh akhir Terbuka Slovakia tahun ini, beraksi cemerlang untuk menamatkan cabaran Kenzie-Luna dalam masa hanya lebih setengah jam dengan keputusan 16-14, 15-10.
Seperti dijangka, final perseorangan lelaki menyaksikan pertembungan sesama Malaysia apabila pemain berusia 20 tahun, Eogene Ewe menambah koleksi gelaran selepas kejayaannya di Terbuka Slovenia dengan menewaskan rakan senegara, Jan Jireh Lee.
Namun Eogene yang juga pilihan kedua, terpaksa berhempas pulas selepas Jan Jireh bermula garang memenangi set pertama 15-8.
Kekalahan itu membangkitkan semangat Eogene untuk bangkit cemerlang pada set kedua dengan kemenangan 15-7 sebelum menamatkan aksi sengit set ketiga 15-13 untuk menjulang kemenangan.
Harapan Malaysia untuk menambah gelaran ketiga menerusi beregu lelaki bagaimanapun tidak kesampaian apabila pasangan negara, Muhammad Faiq-Lok Hong Quan yang juga pilihan kedua tunduk kepada gandingan utama Jepun, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate.
Meskipun berhempas pulas, Faiq-Hong Quan yang juga juara Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia tahun lalu dan pemenang emas Sukan Malaysia itu terpaksa akur dengan kekalahan 7-15, 9-15 dalam tempoh 26 minit.