Kuala Terengganu: Kontinjen Terengganu dijangka menyertai 34 acara sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata ia termasuk 30 sukan wajib dan empat sukan tambahan iaitu silambam, muay thai, petanque dan satu lagi yang akan dimuktamadkan esok.
Beliau berkata ketika ini kontinjen Terengganu berada pada fasa kedua persediaan dan bakal memasuki fasa ketiga yang melibatkan latihan di luar negara.
“Untuk fasa seterusnya kita perlukan lebih banyak pendedahan pertandingan di luar negara bagi memastikan pasukan lain tidak dapat menjangka kekuatan kita hingga hari kejohanan sebenar.
“Jawatankuasa Prestasi SUKMA yang diwujudkan selepas SUKMA 2024 di Sarawak telah mula bertugas memantau latihan dan prestasi atlet serta merancang strategi terbaik menjelang kejohanan di Selangor nanti,” katanya pada Majlis Selangkah Mencipta Gemilang-Misi Emas Bermula Kontinjen SUKMA Terengganu ke-22 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Mohd Syahrizal Yahaya.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata kerajaan negeri kekal dengan keputusan untuk tidak menghantar atlet wanita beragama Islam bagi acara akuatik kerana faktor pemakaian yang tidak mematuhi syariah.
“Kita sudah maklum awal bahawa Terengganu tidak akan sertai acara akuatik wanita Muslim dan semua pihak juga sudah ambil maklum,” katanya.