Kuala Lumpur: Skuad muay thai negara bakal mempertaruhkan barisan bintang termasuk dua nama besar ONE Championship, Rifdean Masdor dan Aliff Rakib bagi memburu pingat di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Kedua-dua jaguh itu disenaraikan dalam Kategori A, sekali gus menjadi sandaran utama Malaysia pada temasya di bumi Gajah Putih itu.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, pemilihan mereka berdasarkan pencapaian cemerlang di Kejuaraan Dunia IFMA serta reputasi di pentas profesional ONE Championship.
“Ia terpulang kepada pengurusan ONE Championship. Kami akan menghantar permohonan untuk membenarkan mereka bertanding.
“Namun, jika jadual bertindih, kemungkinan mereka tidak dapat beraksi di Sukan SEA,” katanya.
Selain Rifdean dan Aliff, adik kepada bintang ONE Championship Johan Ghazali iaitu Muhammad Mikail Ghazali atau Miki serta bintang BYON, Ammarul Shafiq turut disenaraikan dalam Kategori B.
Muhammad Shahnaz berkata, penyertaan mereka di Thailand adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang menuju Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
“Sasaran utama kami adalah memastikan persiapan rapi untuk membawa pulang pingat emas.
“Bertanding di Sukan SEA Thailand akan memberi pengalaman berharga kepada mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, peluang beraksi di temasya dwitahunan itu akan membantu atlet memahami tekanan kejohanan besar serta menyesuaikan diri dengan format pertandingan peringkat tertinggi.
Menurutnya, pengalaman itu akan menjadi bekalan penting untuk mencapai sasaran utama di Kuala Lumpur nanti.
Skuad muay thai negara kini giat menjalani latihan intensif bagi memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik sebelum berangkat ke Thailand.