Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bakal berdepan laluan sukar di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, dengan cabaran getir menantinya seawal pusingan kedua.
Berdasarkan undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Zii Jia akan membuka kempen menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin di pusingan pertama.
Kelebihan nyata memihak kepada pemain ranking ke-52 dunia itu yang pernah menewaskan Hyeok Jin tiga kali daripada empat pertemuan sebelum ini.
Namun, ujian sebenar dijangka hadir di pusingan kedua apabila dia berkemungkinan besar berdepan pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng.
Shi Feng dijangka tidak berdepan masalah menyingkirkan lawan pusingan pertama, Yushi Tanaka dari Jepun, selain memiliki rekod kemenangan 4-2 ke atas Zii Jia.
Kejohanan Dunia kali ini menjadi penampilan pertama Zii Jia di pentas kompetitif sejak Mac lalu selepas bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialami pada Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu.
Dia sempat kembali beraksi di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac, namun kecederaan sama memaksa penarikan diri daripada Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China antara Jun hingga Julai.
BWF menawarkan slot ke Paris menerusi perlindungan ranking, sekali gus mengekalkan kedudukan sembilan dunia bagi tujuan kelayakan.
Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akan memulakan kempen menentang pemain Switzerland, Tobias Kuenzi, sebelum dijangka berdepan Kenta Nishimoto dari Jepun di pusingan kedua.
Bagi perseorangan wanita, Goh Jin Wei akan bertemu Gao Fang Jie dari China, manakala K Letshanaa akan menentang pemain Hong Kong, Saloni S Mehta pada pusingan pertama.