Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memerlukan tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi sebelum memuktamadkan senarai akhir skuad badminton negara ke Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.
Beliau menjelaskan, perbincangan masih berjalan bersama ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi serta barisan jurulatih lain bagi menentukan barisan terbaik yang mampu memberi cabaran kepada dua kuasa besar serantau, Indonesia dan Thailand.
Katanya, tempoh masa itu diperlukan untuk melihat barisan pemain akan dihantar oleh dua musuh utama negara iaitu Thailand dan Indonesia.
“Untuk senarai setakat ini kita sudah ada cadangan, tapi saya perlukan beberapa hari lagi, mungkin seminggu.
“Keputusan mungkin akan dibuat sebelum kita berangkat ke Kejohanan Dunia,” katanya ketika ditemui Mesyuarat Pemilihan ke Sukan SEA Thailand.
Terdahulu, BAM mengesahkan akan menghantar barisan terkuat untuk ke temasya dwi tahunan itu dengan beberapa pemain terkemuka negara seperti beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersenarai dalam skuad.
Ia susulan tiada pertindihan jadual antara Sukan SEA dan Jelajah Dunia Akhir seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Malah Thailand sudah mengubah tarikh kejohanan bagi membolehkan mereka menurunkan skuad terkuat.
“Kalau Indonesia hantar skuad penuh, Thailand pun penuh, kita perlu pastikan letak barisan boleh mencabar mereka untuk rebut pingat emas,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan beregu lelaki utama negara, Aaron-Wooi Yik yang mahu memberi peluang kepada rakan sepelatih lain, Rexy berkata, pandangan itu akan dibincangkan bersama jurulatih.
“Kita perlu menghargai pandangan pemain, tapi ini akan dibincangkan bersama jurulatih.
“Kita ada ramai pilihan di beregu seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Haikal Nazri dan lain-lain yang berada pada tahap setanding lawan dari Thailand atau Indonesia,” jelasnya.
Rexy turut mengesahkan pasangan utama seperti Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih berada dalam senarai, namun menegaskan ia belum dimuktamadkan.
“Jangan terlalu awal menunjukkan kita akan turunkan siapa, sebab ini belum keputusan akhir.
“Kita mahu melihat senarai akhir pihak lawan. Tapi yang pasti, Thailand akan turunkan skuad penuh,” katanya.