Kuala Lumpur: Isu tuntutan dana oleh dua pasukan berbasikal profesional negara, Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) dijangka dimuktamadkan Majlis Sukan Negara (MSN) minggu ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah MSN, Jeffri Ngadirin dengan mengumumkan bahawa MSN akan menghulurkan bantuan kepada dua pasukan berkenaan namun menegaskan jumlah yang dituntut iaitu RM250,000 itu terlalu banyak justeru ia perlu dibincangkan semula dengan lebih terperinci.
“Kita akan beri bantuan, cuma jumlahnya bergantung kepada perbincangan nanti sebab RM250,000 itu terlalu besar.
“Jangan lupa, kali ini kita hantar hampir 50 jenis sukan membabitkan 800 hingga 900 atlet, jumlah yang sangat besar untuk ditanggung kerajaan.
“Tapi insya-Allah isu ini akan selesai minggu ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA, Thailand.
Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan bahawa kesemua atlet berbasikal lebuh raya negara mendapat kelulusan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di bawah kategori A.
Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman memaklumkan pecahan awal skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA adalah 4-4-1 membabitkan empat pelumba TSG, empat pelumba MPC dan seorang lagi dari skuad kebangsaan.
Bagaimanapun senarai akhir pelumba akan diputuskan pada 1 September ini bagi memberi ruang rundingan bersama MSN berhubung permohonan tambahan atlet.
“Ini misi mempertahankan dua pingat emas lebuh raya yang dimenangi dua edisi berturut-turut. Kita mahu berikan peluang penuh kepada MSN membuat pertimbangan, sementara PKBM akan berbincang dengan pasukan terbabit,” katanya.
Terdahulu, TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi, maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA.
Namun MSN sebelum ini menegaskan bahawa tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa.