Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao azam cipta kejutan di Paris

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao bertekad untuk menjadikan penampilan sulungnya di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuan diri.

Meletakkan sasaran untuk mara lebih jauh, pemain di ranking ke-25 itu mengakui tidak merasa tekanan sebaliknya selesa apabila turun berdepan pemain di ranking lebih baik.

Malah, dia turut mengakui teruja apabila tampil buat kali pertama di pentas berprestij itu dan pastinya mahu melakarkan sesuatu dalam kerjaya badmintonnya.

Tegas Jun Hao, kejohanan dunia membuka peluang sama rata kepada semua pemain tanpa mengira status.

“Sasaran saya adalah ambil satu demi satu perlawanan dan buat yang terbaik setiap kali turun gelanggang.

“Jika diikutkan semua ada peluang. Saya harap dapat mencipta kejutan demi kejutan dalam satu kejohanan, bukan sekadar sekali-sekala,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Meskipun musimnya agak tidak menentu dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir Terbuka Singapura, Jun Hao sudah membuktikan kemampuan menumbangkan nama besar seperti Jonatan Christie (ranking kelima dunia) di Terbuka Singapura; Kodai Naraoka (kelapan) di Piala Sudirman dan Kenta Nishimoto (ke-14) di Terbuka China.

Jun Hao dijadual berlepas ke Denmark, Sabtu ini, bagi menjalani latihan selama lima hari sebelum terbang ke Paris, dalam usaha jurulatih untuk membiasakan diri dengan cuaca selain mendapatkan rakan sepelatih yang berkualiti bersama pemain kebangsaan Denmark.

“Ini kali pertama kami buat persediaan seperti ini. Jurulatih kami dari Denmark dan ada hubungan baik di sana, jadi ia inisiatif yang bagus.

“Walaupun saya tidak pasti siapa yang akan ada, berlatih bersama pasukan Denmark pasti beri pengalaman berbeza,” jelasnya.

Selain Jun Hao, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat dalam acara ini adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei yang meraih perak pada edisi 2015 di Jakarta, Indonesia.