Kuala Lumpur: Kejayaan Muhammad Azeem Fahmi memenangi pingat emas acara 100 meter (m) di Jelajah Benua Gangsa Olahraga Dunia dekat India semalam membuktikan pelari pecut negara itu berjaya mempamerkan aksi konsisten sepanjang tahun ini.
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, Azeem juga memperoleh mata daripada kejohanan itu, yang hanya menjemput atlet mempunyai standard tertentu untuk bertanding.
“Azeem menunjukkan pencapaian yang baik dan konsisten sepanjang tahun ini. Kejohanan ini sebenarnya bukanlah kejohanan kemuncak atau erbesar, sebaliknya lebih kepada jemputan untuk mengumpul mata bagi seseorang atlet. Hasilnya, pingat emas berjaya diraih olehnya,” katanya ketika dihubungi.
Pada aksi semalam di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu tidak berdepan masalah untuk muncul pemenang dengan mencatat masa 10.35s, sekali gus mengatasi pencabar terdekat, Chamod M Yodhasing dari Sri Lanka yang meraih perak dengan 10.43s.
Catatan itu menyamai masa direkodkan Azeem ketika menduduki tempat keempat di Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Jerman, baru-baru ini.
Bagaimanapun, masa yang dilakar semalam masih jauh daripada rekod peribadinya 10.20s yang dilakukan pada Kejohanan NCAA di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat (AS), Mei lalu.
Manshahar turut memberikan pujian kepada seorang lagi wakil negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang merekodkan 10.50s untuk meraih pingat gangsa.
“Bagi atlet muda yang mencapai pencapaian 10.50s dan baru pertama kali didedahkan dalam kejohanan antarabangsa, dia mempunyai masa depan cerah sebagai atlet pecut negara pada masa akan datang.
“Secara ringkasnya, kedua-duanya menunjukkan satu pencapaian positif dan baik,” katanya.
Mengenai pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang turut layak ke pentas akhir 100m namun tidak memulakan aksi (DNS), Mansahar berkata, Zaidatul mengambil keputusan menarik diri kerana rasa tidak selesa di paha.
“Keputusannya untuk menarik diri itu satu keputusan yang baik dan tepat sebab kita tak mahu lagi berlaku apa-apa kecederaan yang lebih besar.
“Tapi kecederaan itu bukanlah kecederaan terlalu besar. Saya rasa dalam masa dua tiga hari lagi, dengan rehab dan sebagainya, Insya-Allah Zaidatul akan boleh berlari seperti biasa semula,” katanya.