Kuala Lumpur: Pemain tenis muda berbakat, Mitsuki Leong merangkul gelaran beregu ITF pertamanya sejak beralih ke saingan senior di Kazakhstan, semalam.
Bergandingan dengan pemain Czech, Dominik Palan, pasangan itu menewaskan beregu Uzbekistan, Damir Abdusamadov-Amir Milushev 6-0, 6-2 pada aksi final untuk meraih gelaran (M15) di Astana.
Terdahulu, Mitsuki-Palan menewaskan Aleksandr Lobanov (Rusia)-Grigoriy Lomakin (Uzbekistan) 7-6 (9-7), 6-3 di separuh akhir dan menyingkirkan Alexey Aleschev (Rusia)-Adrian Arcon (Australia) 6-3, 6-1 di suku akhir.
Ia gelaran kedua dalam kerjaya Mitsuki selepas menjuarai acara perseorangan di Nakhon Si Thammarat (M15), Thailand pada 2023.
Mitsuki, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 6 Ogos lalu, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas menjulang trofi berkenaan.
“Saya tidak pernah bergandingan dengan pemain ini sebelum ini dan sejujurnya, saya tidak menjangkakan kami mampu menjuarai gelaran ini.
“Tetapi kami serasi di gelanggang dan berjaya melangkah hingga ke perlawanan akhir.
“Perasaan ini sangat hebat kerana berjaya memenangi gelaran beregu pertama saya. Saya bekerja keras untuk meningkatkan permainan saya dalam tempoh enam bulan lalu.
“Saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi pada kejohanan-kejohanan seterusnya,” kata Mitsuki.
Mitsuki menjadi pemain Malaysia pertama sejak Christian Didier Chin memenangi gelaran beregu ITF. Christian, yang bergandingan dengan Ng Hao Yuan dari Singapura, menjuarai saingan di Singapura (M15) pada 2019.
Anak kelahiran Ipoh itu turut mara ke suku akhir perseorangan di Astana sebelum tewas kepada pilihan kedua dari Rusia, Petr Bar Biryukov 7-5, 6-4.
Mitsuki, yang mendapat sokongan daripada KLKCare, WEIL Hotel, HTM Pharmacy dan Sanctband Global, bakal beraksi pada beberapa kejohanan Jelajah Cabaran ATP di Greece dalam tempoh beberapa minggu akan datang.