Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia mencadangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan gandingan muda negara untuk beraksi di temasya Sukan SEA, Thailand hujung tahun ini.
Jelas Aaron ia jalan terbaik untuk barisan pemain muda negara seperti Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menimba pengalaman dan membuktikan kemampuan mereka beraksi di pentas berprestij itu.
“Kita ada ramai pemain muda bagus. Baik untuk mereka rasai pengalaman. Ini juga peluang terbaik untuk mereka bawa pulang pingat.
“Macam Arif-Roy King mereka baru menang, Hon Jian-Haikal pun bagus. Macam saya sudah rasa menang,” kata Aaron yang pernah memenangi pingat emas bersama Soh Wooi Yik di Sukan SEA 2019 di Filipina.
Hujung tahun lalu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan badan induk itu merancang menghantar barisan terbaik ke Thailand selepas BAM sebelum ini mempertaruhkan barisan pemain muda dalam dua edisi terakhir Sukan SEA iaitu di Vietnam 2022 dan Kemboja 2023.
Kali terakhir skuad badminton negara meraih pingat emas adalah di Vietnam menerusi beregu campuran Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Pada edisi Kemboja dua tahun lalu, Malaysia membawa pulang dua perak menerusi acara berpasukan dan beregu campuran Yap Roy King-Chen Su Yin, selain empat gangsa yang disumbangkan Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang (perseorangan lelaki), Lee Xin Jie-Low Yee Yuan serta Cheng Su Hui-Su Yin (beregu wanita).
Namun dua beregu muda negara menunjukkan peningkatan prestasi membanggakan apabila minggu lalu, Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-22 dunia meraih gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Terbuka Macau 2025, menumbangkan pilihan utama Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18 di pentas final.
Sementara itu, pasangan ranking ke-43 dunia, Hon Jian-Muhammad Haikal yang bergelut dengan kecederaan musim ini, pernah meraih tiga gelaran iaitu Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada 2023, selain Masters Orleans di Perancis tahun lalu.
Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.