Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG), Michael Angelo Bocado mengakui kehilangan momentum selepas aksi permainan kedua dan ketiga menjadi titik tolak kekalahan pasukannya kepada Team Liquid PH (TLPH) dalam final Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2025 Piala Pertengahan Musim (MSC).
SRG.OG yang memulakan aksi dengan garang apabila memenangi permainan pertama, akhirnya akur bergelar naib juara selepas tewas 1-4 dalam pertarungan epik di Riyadh.
“Pada permainan pertama, kami bermain dengan sangat baik, segala perancangan, ‘draft’ dan gerakan kami menjadi. Tapi selepas itu, bermula permainan kedua dan ketiga, walaupun kami mendahului, kami gagal kekalkan rentak.
“Dua permainan itu sebenarnya kami sudah ada tempo, tapi gagal tamatkan dengan kemenangan. Dari situ, moral dan keyakinan pemain mula terjejas,” katanya.
Menurut Bocado atau dikenali sebagai ‘Arcadia’, permainan ketiga menjadi titik kritikal yang mengubah keseluruhan hala tuju perlawanan.
“Permainan ketiga adalah detik paling kritikal. Kami sudah kuasai permainan, tapi tetap gagal menang. Dari situ, pihak lawan mula ambil alih dan kami pula makin hilang arah.”
Mengulas kejutan taktikal pasukan lawan, Bocado menyatakan keputusan TLPH memberi keutamaan kepada hero Gloo dalam permainan kelima memberi kejutan besar kepada anak buahnya.
“Pilihan mereka letak keutamaan pada Gloo sangat di luar jangkaan. Ia bukan ‘pick’ biasa dalam situasi sebegitu. Tapi mereka berjaya manfaatkan dengan sangat baik.”
SRG.OG tetap pulang dengan reputasi meningkat selepas layak ke final buat kali pertama, namun persoalan kini mula timbul tentang masa depan Bocado bersama pasukan Malaysia itu.
Ketika ditanya sama ada dia akan terus kekal, Bocado hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.
SRG.OG membariskan pemain terbaik mereka yang diketuai Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), dan John Vincent Banal (Innocent).
Selaku naib juara MSC 2025, SRG.OG tetap boleh tersenyum lebar apabila membawa pulang hadiah wang tunai melebihi RM2.1 juta daripada kejohanan itu, selain berjaya mencipta sejarah baharu di MSC apabila menjadi pasukan pertama yang layak ke Grand Final dua tahun berturut-turut sejak kejohanan ini dimulakan pada 2017.