Kuala Lumpur: Bintang muda wushu negara, Kwan Yong Xin dan Lee Ronn kini meletakkan sasaran ke Sukan Olimpik Remaja tahun depan selepas masing-masing merangkul pingat emas di Kejohanan Wushu Junior Asia di Jiangyin, China.
Yong Xin menyumbang emas pertama buat Malaysia menerusi persembahan bertenaga yang memberikannya 9.426 mata dalam acara taijijian (pedang taiji) wanita 16–18 tahun, mengatasi peserta dari Singapura dan Vietnam yang masing-masing meraih perak (9.333) dan gangsa (9.316).
Terdahulu, dia meraih perak dalam acara taijiquan tradisional selepas mengutip 9.356 mata, di belakang wakil China yang meraih emas dengan 9.420 mata.
Yong Xin meluahkan rasa puas hati terhadap persembahannya sambil menantikan penampilan sulung wushu di Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal tahun depan.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian ini dan tidak sabar ke Olimpik Remaja,” katanya.
Sementara itu, Lee Ronn yang baru berusia 14 tahun turut tampil cemerlang apabila merangkul dua emas masing-masing dalam acara daoshu (pedang lebar) dan gunshu (tongkat) lelaki 14–15 tahun.
Dia muncul juara acara daoshu dengan 9.336 mata, menewaskan peserta dari Taiwan (9.330) dan Indonesia (9.320).
Pelumba kelahiran Melaka itu kemudian meneruskan aksi konsisten apabila meraih satu lagi emas dalam acara gunshu dengan kutipan 9.303 mata, manakala Singapura (9.266) dan Indonesia (9.260) masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Lee Ronn yang hanya diserap ke dalam skuad kebangsaan tahun lalu, pastinya berbangga apabila berjaya meraih pencapaian yang hanya menjadi impian ramai atlet muda — menjuarai kejohanan di pentas dunia dan Asia.
Tahun lalu, dia turut mencipta nama apabila merangkul emas dalam acara daoshu dan changquan di Kejohanan Wushu Junior Dunia di Brunei.
Malaysia turut menambah satu lagi emas menerusi Logan Lim dalam acara nandao (pedang) lelaki bawah 13 tahun dengan kutipan 9.106 mata.
Secara keseluruhan, kontinjen negara membawa pulang empat emas, enam perak dan tujuh gangsa, sekali gus berada di kedudukan ketujuh daripada 20 negara bertanding.
Pingat perak lain disumbangkan oleh Lee Cheng Wei dalam acara changquan wanita 16–18 tahun (9.426), Ong Wei Bin dalam acara changquan lelaki 16–18 tahun (9.433), Bryan Wee dalam acara daoshu lelaki bawah 13 tahun (9.073) dan Logan Lim dalam acara nangun lelaki bawah 13 tahun (9.036).
Malaysia juga mencatat sejarah apabila meraih gangsa pertama dalam acara sanda (pertarungan) menerusi Cheah Ming Jer dalam kategori junior lelaki 52kg.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (MWF), Datuk Chong Kim Fatt menyifatkan pencapaian itu sebagai petanda positif menjelang Olimpik Remaja.
“Pingat perak diraih dengan prestasi berkualiti dan beza markah yang sangat kecil dengan pemenang emas. Ia isyarat baik untuk peluang kita di Olimpik Remaja di Dakar, Senegal, yang cukup dinanti kerana buat pertama kali wushu dipertandingkan sebagai acara pingat,” kata Kim Fatt yang turut bertindak sebagai pengurus pasukan di kejohanan itu.