Kuala Lumpur: Kapten pasukan Khairulnizam Mohd Afendy boleh menarik nafas lega apabila barisan pelayar negara menunjukkan prestasi meyakinkan menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Disember ini.
Pasukan SSL Team Malaysia yang dibarisi oleh Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof (Skipper), Nur Amirah Hamid (Main Trimmer), Abdul Latif Mansor (Pitman), Ahmad Syukri Abdul Aziz (Trimmer) dan Asri Azman (Bowman) menjuarai Kejohanan The PWE Cup – Match Racing selepas menewaskan River Rat dari Selangor 2-0 pada aksi final, semalam.
Lebih manis, kejayaan itu turut menjadi medan pemanas badan buat pasukan negara yang akan bersaing dalam acara Keelboat SSL 47 di temasya dwitahunan itu nanti.
“Alhamdulillah, kejayaan ini memberi suntikan semangat buat semua pelayar. Ia bukan saja menguji kemampuan teknikal dan taktikal kami, malah membina keserasian sebelum ke Sukan SEA,” kata Khairulnizam yang juga bekas olimpian negara.
Menurutnya, semua pasukan perlu melengkapkan pusingan round robin sebelum layak ke separuh akhir, dengan SSL Team Malaysia berjaya menewaskan UMT 1 bagi mengesahkan slot ke pentas final.
Kejohanan yang berlangsung di Kelab Pelayaran Diraja Selangor (RSYC) itu menghimpunkan 10 pasukan dari seluruh negara dan dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA).
Ia juga berperanan sebagai platform persediaan terakhir pasukan sebelum menyertai Kelayakan Zon Asia bagi Kejohanan Star Sailors League (SSL) yang bakal berlangsung sejurus selepas tamat Sukan SEA – turut menggunakan kapal layar SSL 47.