Kuala Lumpur: Kegagalan untuk terus beraksi secara konsisten sepanjang perlawanan menyebabkan skuad sepak takraw terpaksa berputih mata melihat Thailand terus mendominasi acara regu berpasukan dalam perlawanan akhir Piala Raja Thai, semalam.
Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau melihat setiap pemain yang diturunkan sudah memberi persembahan yang sangat baik dan memberikan harapan untuk menghasilkan keputusan positif, tetapi sebaliknya terjadi.
“Kalau kita lihat dari segi prestasi semasa pemain, kita bermula agak konsisten daripada segi serangan, pertahanan dan kawalan. Namun apabila memasuki fasa pertengahan dan penghujung saingan, ia memberikan kekurangan kepada pasukan kita untuk terus menyerap tekanan dan juga membuat penyudah yang cemerlang. Secara peribadi, saya lihat kedua-dua regu pasukan kita bermain dengan agak baik dan mampu menyerap tekanan di peringkat awal ke pertengahan.
“Namun apabila pasukan Thailand mula sahaja menyamakan kedudukan, pemain-pemain kita sedikit tertekan dan hilang keyakinan untuk meneruskan tekanan kepada pihak lawan, selain banyak melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi pada penghujung saingan setiap set,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, beliau menyatakan dalam perlawanan akhir seperti itu, tidak boleh memberikan peluang kepada pasukan Thailand untuk bangkit kerana ia akan menjadi sangat berbahaya kepada pemain negara.
“Saya tidak nafikan bahawa pemain-pemain kita cepat hilang rentak dan momentum dalam perlawanan akhir. Walaupun peluang yang diberikan kepada pasukan kita sebenarnya mempunyai potensi untuk mencapai kemenangan sekiranya mereka bermain dengan lebih konsisten daripada permulaan permainan sehingga tamat.
“Tetapi apabila pasukan Thailand mula mengejar mata demi mata, kita seolah-olah hilang fokus, rentak serta keyakinan selain kerap melakukan kesilapan mudah dan itu memberikan kelebihan kepada Thailand untuk terus memperagakan aksi bertenaga dan menghukum pasukan negara,” katanya.
Namun, secara keseluruhan, prestasi pemain di Piala Raja Thai 2025 terutama bagi kuadran lelaki, kuadran campuran serta pasukan wanita boleh diletakkan di tahap sederhana selepas mengambil kira persiapan yang agak singkat khususnya bagi pasukan lelaki.
“Mereka dapat mempamerkan sedikit peningkatan dalam kuadran campuran dan kuadran lelaki. Kecederaan Afifuddin ternyata memberi tekanan kepada pasukan negara ketika menentang Jepun di separuh akhir apabila kita gagal mempamerkan aksi bertenaga berbanding lawan yang berjaya mempamerkan permainan bagus dan hadangan kemas,” katanya.
Terdahulu, Malaysia terus kempunan untuk meraih kejuaraan dalam acara regu berpasukan apabila sekali lagi tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final Piala Raja Thai semalam.