Kuala Lumpur: Skuad kuadran lelaki negara mencipta kemenangan bersejarah apabila menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada aksi Kumpulan A Piala Raja Thai 2025, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir.
Dibarisi Afifuddin Razali dan Shahalril Aiman Halim selaku killer serta Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Abd Razak di posisi feeder, Malaysia menundukkan kuadran Gajah Putih yang menurunkan Rachan Viphan, Kritsanapong Nontakote, Sankhai Daoreang dan Seksan Tubtong dengan kemenangan straight set 15-13, 17-16 di Hatyai.
Kemenangan ini dianggap satu ‘penebusan’ selepas skuad negara pernah tewas kepada Thailand 16-21, 13-21 pada separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, tatkala ketika itu kita hanya mampu berpuas hati dengan pingat gangsa.
Malah, kejayaan di Hatyai juga menjadi kebangkitan skuad negara selepas gagal mara ke suku akhir Piala Dunia di Bihar, India Mac lalu apabila tumbang di peringkat kumpulan kepada Vietnam.
Namun, skuad negara menunjukkan taring sebenar dengan menjuarai Piala Asia di Kuala Lumpur, Mei lalu selepas menundukkan Jepun di pentas final, ketika Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Kemenangan ke atas Korea Selatan lewat malam ini sudah cukup untuk mengesahkan anak buah Zulkarnain Arif ke separuh akhir dan pertemuan terakhir dengan Singapura esok adalah untuk memastikan kedudukan selaku juara atau naib juara kumpulan.