Bochum: Jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman menyifatkan kekangan dari segi pemakanan menjadi antara faktor utama yang menjejaskan prestasinya pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini.
Umar berkata beliau terpaksa bergantung kepada makanan sedia dimakan (RTE) kerana kekurangan pilihan makanan halal, sekali gus memberi kesan kepada tahap tenaganya ketika berlumba.
“Bagi saya, mungkin faktor nutrisi menyebabkan saya gagal mencatat masa yang diinginkan. Kebanyakan makanan di sini tidak halal, jadi saya hanya makan foodpack.
“Tetapi foodpack itu pun agak pedas untuk saya. Mahu atau tidak, saya tetap kena makan untuk dapatkan tenaga,” katanya ketika ditemui di sini.
Atlet berusia 21 tahun itu sekadar menamatkan saingan saringan kedua separuh akhir acara 400m di tempat keenam dengan catatan 47.10 saat (s), yang juga catatan peribadi terburuknya musim ini.
Pelajar Politeknik Ungku Omar itu yang memegang rekod kebangsaan 400m dengan masa 46.09s, mengakui tenaganya tidak mencukupi ketika perlumbaan, terutama di bahagian akhir larian.
“Badan saya agak lemah, terutama selepas 300 meter pertama. Saya cuba untuk kekal bersama pelari lain, tetapi 100 meter terakhir, saya sudah tidak mampu untuk teruskan dengan rentak yang sama,” jelasnya.
Untuk rekod, catatan terbaik musim ini milik Umar ialah 46.25s yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.
Umar dijadual menyertai acara 4x400m campuran esok sebelum membantu kuartet 4x400m lelaki negara pada Sabtu ini.