Kuala Lumpur: Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2025 yang bakal membuka tirai Jumaat ini di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail bukan sekadar saingan biasa, malah menjadi medan terakhir buat pemain membuktikan kemampuan mereka sebelum senarai akhir ke Sukan SEA Thailand Disember ini dimuktamadkan.
Sebanyak 49 pasukan akan berentap dalam 139 perlawanan merangkumi empat kategori Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 21 Tahun dan Wanita Bawah 21 Tahun dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad menyifatkan penganjuran kali ini cukup istimewa dan penuh nilai tambah hasil kerjasama erat antara Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dan pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri.
Katanya, kejohanan ini turut penting sebelum KRM mengemukakan senarai nama pemain ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penyertaan Sukan SEA.
Ia susulan senarai panjang 30 pemain lelaki dan wanita yang sudah dihantar kepada MOM dan akan dikecilkan kepada hanya 17 pemain bagi setiap pasukan sebelum tarikh akhir penyenaraian 1 September depan.
“Ini peluang terbaik buat pemain untuk menyerlah. Kejohanan ini akan menentukan siapa yang benar-benar layak membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa,” tegas Amir Amri.
Amir juga menegaskan ketiadaan pasukan dari Sabah dan Pulau Pinang tidak menjejaskan reputasi kejohanan walaupun KRM tetap berharap semua ahli gabungan menyertai edisi akan datang.
“Hubungan baik antara badan induk bersama pemegang taruh seperti kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, agensi keselamatan dan Pejabat SUK Terengganu memberi impak besar. Ia bukan sahaja menyerlahkan profesionalisme penganjuran, malah mengangkat martabat sukan ragbi negara.
“Walaupun tanpa dua negeri itu, 49 pasukan tetap tampil berentap dengan semangat tinggi. Kami menghormati keputusan mereka namun semangat kejohanan kekal membara,” katanya.