Kuala Lumpur: Isu permohonan bajet yang diutarakan oleh dua pasukan profesional negara Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) sekiranya Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) ingin menggunakan khidmat pelumba mereka pada temasya Sukan SEA Thailand, masih belum menemui kata putus.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill bagaimanapun memaklumkan ada maklum balas positif yang diterima selepas sesi perjumpaan membabitkan pasukan profesional negara itu bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung dalam suasana harmoni hari ini.
Namun Amarjit menjelaskan bahawa kedua-dua pasukan benua negara itu perlu menyerahkan perincian bajet secara terperinci dalam tempoh seminggu bagi membolehkan permohonan mereka dikemukakan kepada MSN secepat mungkin.
“Kita sudah minta mereka (TSG dan MPC) perincikan apa keperluan sebenar termasuk kos logistik, penyertaan, dan juga kos tambahan atau ‘top-up’ yang diperlukan untuk ke Sukan SEA.
“Selepas kita terima bajet terperinci itu, barulah kita boleh bawa satu kertas kerja ke MSN untuk dipertimbangkan. Pihak MSN nyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bajet tambahan berdasarkan bajet yang akan dibentangkan nanti,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Amarjit, permintaan kedua-dua pasukan untuk mendapatkan bajet tambahan sebelum ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh diterima akal dan ia adalah wajar bagi pasukan profesional negara itu melakukan persiapan ke temasya dwitahunan itu.
“Sebagai persatuan, kita sentiasa terbuka untuk membantu. Kita mahu menjadi jambatan yang merapatkan jurang antara apa yang diminta oleh pasukan dan kemampuan MSN untuk menyokong.
“MSN sendiri pun sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka, jadi ruang perbincangan sentiasa ada,” katanya.
Setakat ini, seramai sembilan pelumba disenaraikan bagi mewakili negara dalam acara lebuh raya, membabitkan empat pelumba dari TSG, empat daripada MPC dan seorang pelumba kebangsaan.
Secara keseluruhan, kontinjen berbasikal negara ke Sukan SEA Thailand bakal membabitkan 33 atlet meliputi empat disiplin iaitu lebuh raya (14 pelumba – sembilan lelaki dan lima wanita), basikal bukit MTB (lima pelumba – tiga lelaki dan dua wanita), BMX (empat pelumba – dua lelaki dan dua wanita) serta trek (11 pelumba (sembilan lelaki dan dua wanita).
Terdahulu TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA.
Namun MSN sebelum ini menegaskan bahawa tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa.