Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azeem belum pasti beraksi di Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Sesuatu mungkin perlu dilakukan oleh jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi apabila keputusan Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion tidak memihak kepada dirinya.

Malah, Azeem kini semakin jauh ketinggalan ketika musuh utamanya dari Thailand, Puripol Boonson semakin mengukuhkan cengkaman apabila meraih pingat perak selepas merekodkan 10.22 saat (s) manakala Azeem terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dengan catatan 10.35s di WUG.

Emas diraih Bayanda Walaza dari Afrika Selatan, 10.16s manakala gangsa milik atlet Jepun, Hiroki Yanagita gangsa dengan 10.23s.

Catatan itu bagaimanapun jauh daripada masa terbaiknya musim ini iaitu 10.20s dan dia perlu mempertingkatkan usahanya sekiranya ingin melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Dunia dari 13 hingga 21 September ini di Tokyo.

Sekiranya gagal melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, Azeem berpeluang menebus kehampaan di WUG terhadap Boonson di Sukan SEA Thailand Disember ini.

Namun kini persoalannya, belum ada kata putus daripada pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s itu sama ada akan beraksi di Sukan SEA atau tidak.

Menurut Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim, nama Azeem sudah pun dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk beraksi di Sukan SEA namun kata putus terletak di tangan pelari itu.

“Ketika ini masih belum tentu lagi sama ada Azeem akan beraksi di Sukan SEA atau tidak. Terpulang pada tuan punya badan.

“Tapi nama kita sudah hantar kepada MOM,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih MA, Manshahar Abdul Jalil berkata, dia akan berhubung dengan jurulatih Azeem di Amerika Syarikat, Ken Harden untuk berbincang berhubung perkara itu.

“Saya kena hubungi jurulatihnya di Auburn untuk perbincangan dan dapat pengesahan terlebih dahulu sama ada boleh atau tidak Azeem bertanding.

“Ketika ini masih belum ada sebarang kata putus lagi,” katanya.