Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA Selangor berlangsung 15 hingga 24 Ogos 2026

Shah Alam: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor tahun depan bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA dijadualkan dari 5 hingga 14 September tahun sama.

Tarikh rasmi itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis pelancaran logo, maskot dan tema rasmi SUKMA 2026 serta Para SUKMA akan diadakan pada 15 Ogos ini, bersempena detik setahun menjelang penganjuran.

“Upacara pembukaan SUKMA Selangor akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala majlis penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Bagi Para SUKMA 2026, tarikh dan venue pembukaan serta penutup akan diumumkan pada September ini,” katanya.

Sebanyak 28 sukan teras dan lima sukan pilihan akan dipertandingkan pada temasya berkenaan membabitkan sembilan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor, manakala acara berbasikal trek dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Temasya kali ini dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 atlet dan pegawai sukan dari 15 kontinjen negeri termasuk Brunei Darussalam.

Amirudin turut memberi jaminan masalah kesesakan boleh diatasi ketika penganjuran selepas gelanggang dipecahkan kepada beberapa daerah dalam Selangor.

“Sebab itu kita pecahkan dan asingkan (gelanggang sukan) di daerah-daerah supaya mereka tidak perlu meredah daerah lain. Tumpuan utama masih lagi membabitkan di Klang dan juga di Petaling, dua daerah ni paling besar.

Pentingnya, daerah-daerah lain itu (menjadi penganjur) agar tidak mengganggu keseluruhan trafik,” katanya.