Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Stadium MBPJ pentas final bola sepak lelaki, penutup temasya Sukma 2026

Shah Alam: Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjadi gelanggang final bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 berikutan Stadium Shah Alam masih dalam pembinaan semula dan hanya siap pada 2030.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, stadium berkenaan turut dipilih sebagai lokasi majlis penutup temasya berkenaan yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan, manakala majlis pembukaan buat julung kali akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Stadium ini adalah gelanggang rasmi skuad bola sepak Selangor Red Giants.

“Kita akan berbincang dengan pengurusan kelab, tetapi saya tidak nampak ia menjadi masalah.

“Acara olahraga dipindahkan ke Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang bagi memastikan padang Stadium MBPJ kekal dalam keadaan terbaik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola (induk) penganjur, hari ini.

Amirudin berkata, final bola sepak wanita pula akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selain itu, beberapa venue lain seperti Stadium Salak Tinggi dan kemudahan universiti tempatan akan digunakan untuk saingan peringkat kumpulan.

Beliau turut mengesahkan 28 sukan teras dan lima sukan pilihan bakal dipertandingkan dengan semua sembilan daerah di Selangor menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, acara berbasikal trek menjadi satu-satunya sukan dianjurkan di luar negeri Selangor iaitu di Velodrom Nasional, Nilai.