Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ISTAF bakal mansuh peraturan servis tekong kaki tak jejak lantai

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) membuat pusingan U apabila bakal memansuhkan peraturan ‘servis terbang’ dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco), Sabtu ini.

Mesyuarat itu diadakan sempena Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai Ke-38 yang sedang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai 2025.

Setiausaha Agung ISTAF merangkap Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, perbincangan itu berasaskan prinsip keterbukaan, keadilan dan ketelusan ekoran pelbagai maklum balas negara ahli gabungan yang mendesak agar isu pembatalan servis akibat ‘melompat’ dikaji semula.

“Cadangan ini bertujuan menamatkan kekeliruan dan ketegangan yang kerap timbul dalam perlawanan apabila servis tekong sering dibatalkan hanya kerana kakinya yang tidak menyepak itu terangkat atau tergelincir dari bulatan.

“Sedangkan kesalahan itu kadang kala berpunca daripada lontaran yang tidak tepat oleh apit kanan atau apit kiri,” katanya.

Untuk rekod, ISTAF mengemukakan cadangan baharu mengenai peraturan bulatan servis untuk membenarkan tekong ‘mengangkat kaki tidak menyepak’ bagi meningkatkan kuasa dan pelaksanaan servis pada September tahun lalu.

Selain itu, beliau melihat pemansuhan itu mampu memberi keadilan kepada pemain dan mengangkat kembali martabat pengadil yang sering menjadi sasaran kecaman walaupun keputusan sentiasa dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada.

Penekanan utama diberikan kepada Fasal 11.1.4 Undang-undang Permainan Sepaktakraw ISTAF yang selama ini membatalkan servis tekong bagi acara regu jika kaki yang tidak menyepak tidak kekal dalam bulatan.

Manakala cadangan baharu akan menjadikan bulatan hanya sebagai zon rujukan untuk permulaan servis, bukan lagi sebagai kawasan ‘penjara’ pergerakan kaki.

Sistem Semakan Video yang dibentangkan dalam Bengkel Pengadil di Hatyai pada 21 Julai 2025 oleh Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorphiphat turut menekankan keperluan semakan semula terhadap situasi servis, jaring dan bola keluar garisan agar keputusan pengadil disokong bukti visual dan bukan sekadar persepsi.

“Sudah lebih 60 tahun sepak takraw berdepan dilema ini. Sampai bila kita harus membiarkannya tanpa penyelesaian yang tuntas?

“Pengadil dipersalahkan, pemain tertekan, pasukan hilang keyakinan. Inilah masanya untuk perubahan berani dilakukan demi masa depan sukan ini,” katanya.

Jika dipersetujui secara sebulat suara, keputusan itu akan menjadi satu anjakan paradigma dalam evolusi sepak takraw moden sambil meletakkan pemain, pengadil dan penonton pada landasan lebih adil, profesional dan sejagat.