Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad ragbi 7s Malaysia sasar final sukan SEA Thailand 2025

Kuala Lumpur: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan mensasarkan untuk layak ke final pada Sukan SEA Thailand 2025 yang akan berlangsung Disember nanti.

Ketua jurulatih ragbi 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, beliau yakin dengan anak buahnya untuk menampilkan aksi cemerlang pada temasya dwitahunan itu biarpun Filipina dilihat antara penghalang utama buat pasukan Malaysia.

Justeru, Kejohanan Siri Asia 7s yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 20 dan 21 September nanti bakal menjadi medan terbaik buat skuad negara melakukan persiapan selain mengenal pasti kekurangan yang perlu diatasi sebelum ke Thailand.

“Kalau ikutkan, memang kita nak sasaran emas itu. Tapi bagi saya, saya letak secara realistik iaitu perlu masuk ke final dulu sebelum kita fikirkan yang selanjutnya.

“Untuk kejohanan Siri Asia ini, kita sentiasa diberikan masa yang singkat untuk menyiapkan pasukan. Jadi, saya tidak mahu menjadikan ini alasan untuk kita tidak boleh beraksi dengan baik di Sukan SEA. Sebab itu, saya perlu pastikan pasukan ini boleh menjadi lebih kuat di kejohanan ini dan bersedia untuk menghadapi negara-negara terbaik di Thailand nanti,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa setiap pemain akan terus dipantau dari semasa ke semasa agar mereka melaksanakan tugasan yang diberikan meskipun tidak berada di satu tempat yang sama.

“Kalau ikutkan sekarang ini, kita masih lagi menjalani latihan secara ‘remote’ yang mana saya bagi pelan dan perancangan kepada pemain-pemain yang berada di lokasi masing-masing. Mereka akan lakukan latihan itu tiga kali seminggu dan perlu lapor kepada saya. Kita juga ada melakukan ujian kecergasan setiap dua bulan sekali,” katanya.

Untuk rekod, skuad ragbi 7s negara pernah mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas pertama di Sukan SEA sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.

Namun, mereka gagal mempertahankan kejuaraan itu selepas tumpas di tangan tuan rumah Sukan SEA 2019 iaitu Filipina.

Selepas dua edisi di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 tidak dipertandingkan, kini anak buah Nik Safuan sudah pasti lebih bersemangat untuk mengulangi pencapaian 2017 itu sekali lagi di bumi Thailand.