Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pembedahan ditangguh, Bertrand fokus pulih demi aksi 2025

Kuala Lumpur: Penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises meletakkan harapan tinggi untuk beraksi di Kejohanan Terjun Asia di Ahmedabad, India, September depan selepas berehat hampir tiga bulan kerana kecederaan pergelangan tangan.

Bagi Rhodict, dirinya masih belum berada di tahap terbaik dan perkara itu harus dipertimbangkan semula sekiranya ingin menyertai pertandingan itu agar pilihan yang dibuat nanti tidak menambah kepada kecederaan yang dialami ketika ini.

“Sebelum ini, saya berehat sejak April dan sekarang sudah kembali menjalani latihan. Kalau nak cakap cergas, sebenarnya belum cergas sepenuhnya kerana masih ada beberapa kecederaan yang lain.

“Kecederaan pergelangan tangan kiri yang saya hadapi ini adalah kecederaan berulang. Fokus saya sekarang adalah Kejohanan Asia tetapi ia bergantung kepada tahap kecederaan,” katanya.

Disebabkan kecederaan yang dialami oleh atlet berusia 20 tahun itu, dia terlepas pertandingan utama seperti Piala Dunia dan Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Singapura hujung bulan ini.

Selain itu, dia perlu membuat beberapa keputusan penting agar momentum terjunan itu tidak terus merudum kerana kecederaan yang memerlukan rawatan lebih mendalam akan memberi impak kepada prestasi semasanya.

“Kalau diikutkan, kami ada berbincang untuk melakukan pembedahan tetapi disebabkan banyak pertandingan penting tahun depan, jadi kami tangguhkan dahulu dan buat keputusan selepas ini,” kata Rhodict.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet kelahiran Sarawak itu melakukan terjunan adalah pada Terbuka Malaysia November tahun lalu dan berjaya meraih emas menerusi acara 10 meter platform seirama lelaki bersama Jellson Jabilin.