Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 10, 2025

PROGRAM AKADEMI KARATE MALAYSIA 2025

Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) telah mengadakan Program Akademi Karate Malaysia 2025 bertempat di Kompleks MSN Saujana Asahan, Melaka.

Program yang berlangsung pada 4 hingga 10 Julai ini telah menghimpunkan 110 atlet yang berumur daripada 13 hingga 16 tahun. Inisiatif ini menjadi platform perkongsian dan pendidikan atlet dan jurulatih negeri bersama atlet pelapis kebangsaan dan jurulatih kebangsaan.

Selain itu, mengkhususkan penglibatan atlet program bakat dari setiap negeri serta persediaan kepada atlet dan jurulatih untuk kejohanan-kejohanan dalam negara khususnya persediaan atlet bagi penyertaan ke temasya SUKMA.

ISTAF wajibkan ujian doping Piala Raja Thai, pemain enggan kena gantung 4 Tahun

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bakal melaksanakan ujian doping secara menyeluruh pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai ke-38 yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 27 Julai ini di Hat Yai, Songkhla, Thailand.

Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, semua kontinjen dan pegawai pasukan wajib mematuhi Peraturan Anti-Doping ISTAF 2021 yang sudah diedarkan oleh sekretariat persekutuan itu.

“Setiap pengurus pasukan perlu menyerahkan Borang Pengisytiharan Anti-Doping ISTAF kepada Pegawai Anti-Doping ISTAF, Syed Azmir Syed Ahmad, semasa Mesyuarat Pengurus Pasukan pada 21 Julai ini, jam 7 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, borang berkenaan perlu disertakan bersama salinan pasport semua pemain yang didaftarkan untuk kejohanan berprestij itu.

“Ujian doping akan dilaksanakan mengikut garis panduan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Kebangsaan Thailand (NADO)

“Stesen kawalan doping akan disediakan di lokasi kejohanan, manakala analisis sampel dilakukan di makmal bertauliah WADA,” katanya.

Tambahnya, atlet yang dipilih untuk menjalani ujian doping akan diiringi pegawai pasukan sepanjang proses, dengan bantuan daripada pegawai Anti-Doping ISTAF.

“Proses pengambilan sampel akan dilaksanakan ketika perlawanan akhir setiap acara dan pengurusan pasukan serta jurulatih diberi tanggungjawab penuh untuk memastikan pematuhan sepenuhnya,” katanya.

Malah, jika ada pemain atau pegawai yang enggan menjalani ujian doping pada kejohanan kali ini bakal berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun.

Dalam pada itu, Halim turut memaklumkan satu taklimat rasmi bakal diadakan semasa mesyuarat pengurus pasukan bagi memperincikan prosedur antidoping serta menjelaskan tanggungjawab setiap pasukan.

Beliau juga mengingatkan sebarang pelanggaran terhadap peraturan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan ISTAF Anti-Doping Rules 2021.

Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk penggantungan sementara atlet, pembatalan keputusan, serta penarikan semula pingat, mata dan hadiah.

“Sekiranya lebih daripada dua pemain dalam satu pasukan didapati melanggar peraturan, pasukan terbabit boleh dikenakan hukuman kolektif seperti pemotongan mata, pembatalan penyertaan atau penyingkiran terus dari kejohanan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua pasukan perlu memandang serius perkara itu dan memastikan pemantauan rapi terhadap pematuhan atlet masing-masing.

Hal ini kerana, pihak mereka tampil lebih tegas dalam usaha menegakkan integriti dan kesaksamaan dalam sukan sepak takraw di peringkat dunia.

Sementara itu, seramai 18 negara akan berentap dalam kejohanan yang dijadual berlangsung di Pusat Beli-belah Central Festival, Hat Yai.

Antara acara yang dipertandingkan di Divisyen Perdana ialah kuadran lelaki, kuadran wanita dan kuadran campuran, manakala acara gelung (hoop) pula terbuka kepada semua negara peserta.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan, manakala juara bertahan Thailand mengetuai Kumpulan A bersama Brunei, Vietnam, India dan Singapura.

Terdahulu, Thailand muncul juara acara berpasukan pada edisi ke-37 selepas menewaskan Malaysia.

Pembedahan ditangguh, Bertrand fokus pulih demi aksi 2025

Kuala Lumpur: Penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises meletakkan harapan tinggi untuk beraksi di Kejohanan Terjun Asia di Ahmedabad, India, September depan selepas berehat hampir tiga bulan kerana kecederaan pergelangan tangan.

Bagi Rhodict, dirinya masih belum berada di tahap terbaik dan perkara itu harus dipertimbangkan semula sekiranya ingin menyertai pertandingan itu agar pilihan yang dibuat nanti tidak menambah kepada kecederaan yang dialami ketika ini.

“Sebelum ini, saya berehat sejak April dan sekarang sudah kembali menjalani latihan. Kalau nak cakap cergas, sebenarnya belum cergas sepenuhnya kerana masih ada beberapa kecederaan yang lain.

“Kecederaan pergelangan tangan kiri yang saya hadapi ini adalah kecederaan berulang. Fokus saya sekarang adalah Kejohanan Asia tetapi ia bergantung kepada tahap kecederaan,” katanya.

Disebabkan kecederaan yang dialami oleh atlet berusia 20 tahun itu, dia terlepas pertandingan utama seperti Piala Dunia dan Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Singapura hujung bulan ini.

Selain itu, dia perlu membuat beberapa keputusan penting agar momentum terjunan itu tidak terus merudum kerana kecederaan yang memerlukan rawatan lebih mendalam akan memberi impak kepada prestasi semasanya.

“Kalau diikutkan, kami ada berbincang untuk melakukan pembedahan tetapi disebabkan banyak pertandingan penting tahun depan, jadi kami tangguhkan dahulu dan buat keputusan selepas ini,” kata Rhodict.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet kelahiran Sarawak itu melakukan terjunan adalah pada Terbuka Malaysia November tahun lalu dan berjaya meraih emas menerusi acara 10 meter platform seirama lelaki bersama Jellson Jabilin.

Skuad ragbi 7s Malaysia sasar final sukan SEA Thailand 2025

Kuala Lumpur: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan mensasarkan untuk layak ke final pada Sukan SEA Thailand 2025 yang akan berlangsung Disember nanti.

Ketua jurulatih ragbi 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, beliau yakin dengan anak buahnya untuk menampilkan aksi cemerlang pada temasya dwitahunan itu biarpun Filipina dilihat antara penghalang utama buat pasukan Malaysia.

Justeru, Kejohanan Siri Asia 7s yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 20 dan 21 September nanti bakal menjadi medan terbaik buat skuad negara melakukan persiapan selain mengenal pasti kekurangan yang perlu diatasi sebelum ke Thailand.

“Kalau ikutkan, memang kita nak sasaran emas itu. Tapi bagi saya, saya letak secara realistik iaitu perlu masuk ke final dulu sebelum kita fikirkan yang selanjutnya.

“Untuk kejohanan Siri Asia ini, kita sentiasa diberikan masa yang singkat untuk menyiapkan pasukan. Jadi, saya tidak mahu menjadikan ini alasan untuk kita tidak boleh beraksi dengan baik di Sukan SEA. Sebab itu, saya perlu pastikan pasukan ini boleh menjadi lebih kuat di kejohanan ini dan bersedia untuk menghadapi negara-negara terbaik di Thailand nanti,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa setiap pemain akan terus dipantau dari semasa ke semasa agar mereka melaksanakan tugasan yang diberikan meskipun tidak berada di satu tempat yang sama.

“Kalau ikutkan sekarang ini, kita masih lagi menjalani latihan secara ‘remote’ yang mana saya bagi pelan dan perancangan kepada pemain-pemain yang berada di lokasi masing-masing. Mereka akan lakukan latihan itu tiga kali seminggu dan perlu lapor kepada saya. Kita juga ada melakukan ujian kecergasan setiap dua bulan sekali,” katanya.

Untuk rekod, skuad ragbi 7s negara pernah mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas pertama di Sukan SEA sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.

Namun, mereka gagal mempertahankan kejuaraan itu selepas tumpas di tangan tuan rumah Sukan SEA 2019 iaitu Filipina.

Selepas dua edisi di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 tidak dipertandingkan, kini anak buah Nik Safuan sudah pasti lebih bersemangat untuk mengulangi pencapaian 2017 itu sekali lagi di bumi Thailand.

PEMBELIAN PERALATAN LATIHAN ATLET PELAPIS KEBANGSAAN SUKAN PARA BERBASIKAL BAGI TAHUN 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Maaysia (SSM) dan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030501– PERALATAN SUKAN

NO. SEBUT HARGA : MSN /SH/028/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN PERALATAN LATIHAN ATLET PELAPIS KEBANGSAAN SUKAN PARA BERBASIKAL BAGI TAHUN 2025
TARIKH BUKA : 10 JULAI 2025 (KHAMIS)
TARIKH TUTUP : 18 JULAI 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Najib Hassan (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929948

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Majlis Sukan Negara Malaysia