Langkawi: Kejohanan Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) mampu menjadi platform terbaik melahirkan ramai jaguh berbasikal seperti Datuk Azizulhasni Awang, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Pengarah Pengurusan Acara dan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Safrushahar Yusoff berkata, sejak mula dianjurkan pada 2016, JCM mencatat perkembangan membanggakan tampil dengan lapan siri kejohanan tahun ini.
Katanya, JCM bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya turut menyediakan program latihan berstruktur untuk pembangunan atlet remaja usia bawah 18 tahun secara berterusan.
“Penganjuran kejohanan ini membuka ruang kepada atlet remaja seluruh negara untuk menimba pengalaman, sekali gus bersedia menyerlah dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kesinambungan kejohanan juga mampu mengekalkan atlet muda untuk kekal dalam sukan berbasikal bagi menyambung legasi Azizulhasni,” katanya pada sidang media selepas majlis pengenalan pasukan menyertai JCM Siri 3 di Ombak Villa, di sini, petang semalam.
Mengulas kejohanan yang berlangsung di Langkawi selama tiga hari berakhir Sabtu ini, beliau berkata, seramai 85 peserta daripada 15 pasukan berentap dalam tiga peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 162 kilometer.
“Antaranya Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor JDT, Perlis, Terengganu, Pelapis MSN, Putrajaya, Pahang dan Kelantan, manakala Kedah serta Selangor masing-masing menghantar dua pasukan,” katanya.