Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
55 PSK hadiri taklimat menjelang Sukan SEA 2025

KUALA LUMPUR: Sukan SEA Thailand 2025 hanya berbaki kira-kira lima bulan sahaja lagi dan ketika ini Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN) giat mengatur strategi bagi memastikan kelangsungan dan pencapaian kontinjen Malaysia pada edisi ke-33 itu nanti.

Untuk itu, MSN, MOM dan ISN menganjurkan taklimat persiapan untuk kontinjen Malaysia ke Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini kepada 55 persatuan sukan kebangsaan.

Ia bertujuan untuk menyelaras dan merangka pelan kerja seragam bagi memastikan penyediaan kontinjen negara berjalan dengan cekap dan terancang.

MSN dalam satu kenyataan berkata, antara agenda utama taklimat berkenaan ialah pembentangan pengurusan kontinjen oleh MOM, perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan daripada ISN serta program penyediaan atlet oleh MSN.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin yang mempengerusikan taklimat itu berkata, sesi hari ini penting untuk mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan persiapan menjelang temasya di Thailand itu nanti.

Sesi taklimat itu turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia yang baru dilantik, Nurul Huda Abdullah serta dua timbalannya, Nazmizam Muhammad dan Jivan Mohan.

Sukan SEA 2025 bakal mempertandingkan 50 jenis sukan dengan membabitkan 574 acara yang akan berlangsung di tiga lokasi utama di Thailand iaitu Bangkok (29 jenis sukan), Chonburi (18 jenis sukan) dan Songkhla (sembilan jenis sukan).

“Sesi taklimat hari ini adalah langkah awal MSN untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan penyediaan atlet negara berada pada landasan terbaik bagi mencapai sasaran pingat dan memperkukuh pencapaian kontinjen Malaysia di peringkat saingan sukan serantau nanti,” kata kenyataan itu.