Iskandar mahu pemain wanita lebih berbisa

KUALA LUMPUR: Iskandar Zulkarnain Zainuddin mahu memastikan pemain perseorangan wanita negara memiliki ketajaman taktikal setanding jaguh dunia apabila memulakan tugas sebagai jurulatih baharu skuad itu.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara berusia 34 tahun itu, berkata pengalaman melatih skuad Ireland sebelum ini banyak mengajarnya pendekatan berbeza dalam membina keyakinan serta ketahanan mental pemain.

“Saya gembira untuk kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia), kali ini bukan sebagai pemain tetapi sebagai jurulatih yang bersedia memberi semula kepada badminton Malaysia.

“Ketika di Ireland, saya banyak belajar mengenai pendekatan berbeza dalam latihan dan tuntutan berprestasi tinggi.

“Kini saya mahu membantu pemain perseorangan wanita negara membina keyakinan, menajamkan aspek taktikal serta fizikal mereka dan akhirnya melakar kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kepulangan Iskandar turut dilihat sebagai langkah signifikan BAM untuk menyuntik nafas baharu dalam skuad perseorangan wanita negara yang dilihat agak tenggelam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika ini, hanya dua pemain – K Letshanaa dan Wong Ling Ching – yang beraksi secara tetap dalam saingan Jelajah Dunia BWF, itupun kebanyakannya di kejohanan tahap rendah.

Iskandar pernah membantu skuad lelaki negara meraih pingat gangsa pada Sukan Asia Incheon 2014 dan Piala Thomas 2016, selain muncul naib juara Masters Malaysia 2016.

Beliau juga meraih pingat perak perseorangan lelaki dan berpasukan campuran pada Kejohanan Remaja Dunia 2009.

Sepanjang karier jurulatihnya di Ireland sejak 2021, Iskandar berjaya membantu negara itu melayakkan dua pemain perseorangan – Nhat Nguyen dan Rachael Darragh ke Sukan Olimpik Paris 2024 – pencapaian besar bagi badminton Ireland.

Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen berkata pelantikan Iskandar hadir pada masa tepat dengan skuad perseorangan wanita kini melalui fasa peralihan penting.

“Kami yakin Iskandar mampu memimpin pembangunan perseorangan wanita negara. Pengalaman antarabangsa yang dimilikinya bersama latar belakang sebagai bekas pemain negara memberi kombinasi terbaik untuk menggilap potensi mereka,” katanya.

Iskandar akan memulakan tugas rasminya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 1 Oktober ini.