Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Isu kontrak Pearly-Thinaah diselesaikan sebelum Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR: Kemelut membabitkan kontrak pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah hampir menemui noktah apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan ia perlu diselesaikan sebelum bermula Kejohanan Terbuka Jepun bulan depan.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sudah bertemu sendiri dengan kedua-dua pemain terbabit bagi membincangkan perkara berkenaan secara terbuka dan hasilnya adalah positif.

“Saya ada berbincang dengan Pearly dan Thinaah dan ia berlangsung dengan lancar.

“Kita bersetuju yang Pearly-Thinaah ini terus akan memainkan peranan penting dalam badminton negara. Kita menghargai pembabitan mereka dan mereka juga menghargai sokongan daripada BAM.

“Saya juga berkongsi dengan mereka dan mereka bersetuju bahawa kita perlu memuktamadkan perbincangan ini supaya mereka dapat fokus kepada kejohanan akan datang, terutamanya Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia.

“Saya sudah tetapkan masa dan mereka bersetuju supaya sebelum Terbuka Jepun ini kita akan buat pengumuman yang insya-Allah akan memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak. Yang penting ialah memastikan mereka terus berjaya” kata Zafrul ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama pemain di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan bersama Pearly-Thinaah kini berada pada peringkat akhir dengan hanya berbaki satu atau dua isu kecil sebelum dimuktamadkan dengan Terbuka Jepun dijadual bermula 15 Julai ini.

Ketika ditanya sama ada pasangan itu menuntut peningkatan manfaat dalam kontrak baharu, Zafrul menjelaskan ia perkara normal dalam rundingan.

“Dalam mana-mana perbincangan kontrak, memang akan ada perbincangan tentang apa yang dirasakan wajar. Bagi saya, kita perlu menilai sumbangan mereka dengan sewajarnya,” kata Zafrul yang enggan mendedahkan butiran lanjut kontrak berkenaan.

Kemelut kontrak Pearly-Thinaah mula tercetus apabila pasangan beregu utama negara itu dilaporkan belum menandatangani kontrak baharu selepas tamat tempoh kontrak sebelum ini, sehingga menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka bersama BAM.

Beregu nombor tiga dunia itu kini sedang membuat persiapan menghadapi siri kejohanan penting termasuk Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia dalam usaha memburu kedudukan lebih baik dalam ranking dunia.