Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengesyorkan Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 (Lelaki dan Wanita), tanpa perlu melalui proses pembidaan seperti kebiasaannya.
Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata, syor berkenaan dibuat sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, cadangan itu pertama kali diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semasa Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Mei dan sejak itu mendapat sokongan padu daripada ISTAF.
“PSM menunjukkan kemampuannya dengan berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan Piala Asia 2025 dengan sokongan 70 pegawai teknikal dari 16 negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengumuman berkenaan dibuat susulan pemilihan semula Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Presiden PSM bagi penggal 2025-2028 pada Mesyuarat Agung Tahunan PSM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.
Abdul Halim berkata, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Sumali atas pelantikan semula itu dan menyifatkannya sebagai penggerak utama dalam usaha meremajakan arena sepak takraw di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
“Kepimpinan yang diperbaharui ini mencerminkan kestabilan, perpaduan serta visi yang jelas terhadap masa depan sepak takraw di Malaysia dan di peringkat global,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan akar umbi menerusi Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan lebih 500 atlet muda dari 25 institusi di seluruh negara.