Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao pikul tugas pemain perseorangan no 1 negara

Kuala Lumpur: Ketika barisan perseorangan lelaki negara terus dibelenggu isu ketidaktentuan prestasi, Leong Jun Hao tampil sebagai sandaran utama negara apabila dia kini bergelar pemain nombor satu Malaysia.

Jun Hao kini menghuni ranking ke-25 dunia, manakala Zii Jia yang sebelum ini berada di ranking kelapan sebelum ditimpa kecederaan lutut dan terpaksa berehat selama tiga bulan sejak Mac lalu, mengalami kemerosotan ranking ke tangga ke-28 dunia.

Namun begitu, Zii Jia mendapat perlindungan ranking dalam tempoh setahun daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang membolehkannya beraksi dalam kejohanan utama sebaik pulih daripada kecederaan dengan menggunakan ranking lamanya.

Justeru biarpun sudah lebih sebulan tanpa sebarang aksi kejohanan, Jun Hao, 25, enggan leka, sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya ruang itu untuk memperkemaskan permainannya menjelang kejohanan utama akan datang termasuk Terbuka Jepun dan China, bulan depan.

“Memang tekanan ada, tapi saya anggap itu cabaran dan pembakar semangat untuk terus mara ke depan.

“Saya fokus pada apa yang perlu dalam gelanggang. Bila ada masa macam ni, saya gunakan betul-betul untuk tambah apa yang kurang,” katanya yang kini memikul status sebagai ‘abang besar’ sebagai perseorangan lelaki negara.

Enggan terburu-buru meletakkan sasaran tinggi, Jun Hao memilih untuk kekal tenang dengan pendekatan satu perlawanan pada satu masa sebagai cara mengurus tekanan di pentas antarabangsa.

“Memang ada sasaran, tapi kalau fikir jauh sangat boleh jadi beban.

“Jadi saya pilih fokus satu-satu kejohanan dulu,” katanya yang dijangka bakal menjadi tonggak utama skuad negara ke temasya besar termasuk Kejohanan Dunia nanti.

Selepas bergelut dengan kecederaan sebelum ini, Jun Hao mengesahkan sudah kembali cergas sepenuhnya dan kembali menjalani latihan intensif dengan fokus khusus terhadap kekuatan fizikal serta taktikal dalam gelanggang.

Di bawah bimbingan jurulatih dari Denmark, Kenneth Jonassen, Jun Hao mengakui semakin serasi dengan pendekatan baharu yang diterapkan dalam latihan.

Mengulas prestasi sepanjang separuh musim pertama, Jun Hao secara terbuka mengakui permulaan musim agak perlahan, namun perubahan yang dibawa kini memberikan hala tuju lebih jelas buat dirinya.

“Sekarang saya lebih tahu apa yang perlu dibuat dan bila nak gunakan strategi tertentu dalam perlawanan. Jadi rasa lebih bersedia,” tambahnya.