Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Herry Iman percaya beregu pelapis perlukan masa sesuaikan diri

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mendedahkan pemain pelapis memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan baharu yang diterapkan sebelum bersaing dalam Terbuka Jepun dan China, bulan depan.

Beliau berkata, pemain seperti Choong Hon Jian- Haikal Nazri masih dalam proses penyesuaian selepas sekian lama tidak beraksi di pentas kompetitif, selain perlu membiasakan diri dengan pendekatan latihan terkini.

“Sudah lama mereka tak tanding, suasana pertandingan pun berbeza. Tambahan pula sebelum ini mereka main dengan gaya yang berbeza.

“Jadi memang perlukan masa untuk adaptasi,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Mengulas lanjut, Herry mengakui Haikal turut berdepan tekanan mental susulan kecederaan lalu, namun telah diberikan bimbingan khas termasuk khidmat sokongan daripada pakar psikologi sukan.

“Saya tengok Haikal perlukan masa lagi kerana mental dia sedikit terganggu lepas cedera.

“Saya dah minta bantuan psikologi untuk bantu dia dari segi kekuatan mental,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih itu optimis dengan persiapan keseluruhan skuad bagi menghadapi Terbuka Jepun dan China khususnya selepas beregu utama seperti Aaron Chia- Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menunjukkan peningkatan ketara dan sudah merangkul gelaran musim ini.

“Saya berharap pasangan pelapis seperti Hon Jian-Haika, Arif Junaidi-Yap Roy King dapat mendekatkan diri dengan prestasi dua beregu utama kita.

“Kalau boleh, jadi pelapis yang bersedia bila diperlukan,” katanya.

Beliau turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu gelaran dapat dibawa pulang dari Terbuka China sebagai penanda aras prestasi menjelang kejohanan akhir musim nanti.

Katanya, ia sasaran peribadi beliau mahu salah satu daripada mereka bawa balik gelaran untuk Malaysia.

Sementara itu, jurulatih berkenaan turut mengulas mengenai pertemuan santai bersama bekas pemain didikannya, Mohammad Ahsan yang mencuri perhatian ramai selepas dikaitkan dengan isu luar gelanggang.

“Itu biasa saja. Dia anak didik lama, mahu jumpa, kita pergi makan, sembang-sembang.

“Tak ada kena mengena dengan badminton pun. Orang Indonesia kata ‘kangen’ saja,” katanya.

Beliau menegaskan pertemuan berkenaan sekadar perjumpaan mesra dan tidak membabitkan sebarang isu profesional atau penyertaan semula dalam skuad kebangsaan.