Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan keperluan untuk melantik sekurang-kurangnya dua Timbalan Ketua Kontinjen (Timbalan CDM) bagi membantu mengemudi kontinjen negara ke Sukan Sea Thailand yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Presiden OCM, Tan Sri Norza Zakaria, berkata, beberapa calon disenarai pendek untuk jawatan CDM dan Timbalan CDM.
“Isunya dari segi logistik, temasya kali ini akan diadakan di tiga lokasi berbeza, Bangkok, Songkhla dan Chonburi, jadi kita perlu berbincang mengenai pemilihan seorang CDM dan beberapa timbalan, sekurang-kurangnya dua orang.
“(Calon-calon) akan terdiri daripada pentadbir sukan dari OCM, bekas atlet serta wakil persatuan sukan kebangsaan.
“Kami sudah senarai pendek beberapa nama dan saya akan ke Pulau Pinang hari ini bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Saya akan berbincang dengan beliau. Walaupun hak untuk melantik CDM terletak pada OCM, kami merasakan wajar untuk mendapatkan kelulusan daripada menteri juga,” katanya.
Pelantikan sekurang-kurangnya dua Timbalan CDM adalah amalan biasa dalam edisi-edisi terdahulu Sukan Sea walaupun belum pernah tiga Timbalan CDM dilantik serentak.
Legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli, dan bekas pemain skuasy kebangsaan, Sharon Wee, masing-masing pernah menjawat jawatan Timbalan CDM pada temasya Sukan Sea 2023 di Phnom Penh.
Ketika itu, Datuk Nasir Ali berperanan sebagai CDM.Dalam perkembangan berlainan, Norza turut memaklumkan bahawa Yonex dilantik sebagai pembekal pakaian rasmi untuk kontinjen negara ke Sukan Sea Thailand.
“Kami sudah lantik Yonex, jadi kami akan duduk berbincang dengan mereka mengenai rekaan dan sebagainya. Kali ini, kami juga akan libatkan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam proses ini,” katanya.
Terdahulu, pakaian rasmi yang diperkenalkan untuk kontinjen ke Sukan Olimpik Paris tahun lalu menerima kritikan daripada orang ramai dan memaksa OCM melakukan reka bentuk semula sebelum temasya bermula.