Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad hoki wanita negara raih tempat ketujuh di Poland

Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara menutup tirai kempen FIH Piala Negara-Negara 2 di Walcz, Poland dengan kemenangan apabila menewaskan Afrika Selatan 4-3 menerusi penalti shoot-out, sekali gus mengesahkan kedudukan ketujuh keseluruhan kejohanan.

Ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim nyata lega apabila skuad bimbingannya berjaya mengakhiri kempen dengan satu kemenangan cukup bererti selepas beberapa aksi mengecewakan sebelum ini.

“Alhamdulillah, ini kemenangan pertama kami. Walaupun kita belum berada di tahap sebenar, pasukan ini ada potensi besar.

“Kejohanan ini beri banyak pengalaman kepada pemain-pemain untuk berkembang. Ini baru permulaan,” katanya.

Tambah Nasihin, kebangkitan ditunjukkan selepas tewas besar 0-5 kepada Itali kelmarin cukup menggambarkan karakter sebenar pasukan yang tidak mudah mengalah walau diuji hebat.

“Hari ini (semalam) mereka bermain lebih tenang, lebih disiplin dan sangat teknikal. Saya bangga dengan semangat mereka. Kekalahan kepada Afrika Selatan di peringkat kumpulan (1-3) jadi pembakar semangat. Hari ini, mereka bangkit sebagai pasukan,” katanya.

Skuad negara selepas ini dijangka akan diperkukuh dengan beberapa muka baharu sebaik kembali ke Kuala Lumpur, sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan akan datang.

Dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan yang berlangsung di Stadium Walcz, skuad negara terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-49, namun Afrika Selatan menyamakan kedudukan menerusi Charné Maddocks enam minit kemudian.

Pertembungan sengit itu terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out dan empat ‘wira’ negara, Nuramirah Syakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor, Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha dan Fatin Shafika Mahd Sukri tampil menyempurnakan pukulan dengan tenang.

Sebaliknya, Afrika Selatan hanya mampu menyudahkan tiga pukulan menerusi Quanita Bobbs, Onthatile Zulu dan Cerian Fourie.