Kuala Lumpur: Kemudahan yang ditawarkan oleh Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) kepada beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dilihat satu perkara yang sangat baik bagi memastikan mereka dapat melakukan persiapan yang lebih rapi sebelum melangkah ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying berkata, dia pernah bergelar pemain profesional dan sudah pasti itu bukan sesuatu yang mudah kerana pemain akan berdepan pelbagai kekangan untuk mendapatkan kelengkapan terbaik yang sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada prestasi mereka ketika bertanding nanti.
Justeru, dia melihat cadangan untuk membina pusat latihan tertutup itu sebagai satu usaha yang sangat baik dan akan memberi kelebihan serta kebaikan kepada Malaysia kerana pemain akan lebih bersedia ketika melangkah ke LA28.
“Saya rasa bantuan daripada RTG itu sangat penting sebab kita boleh katakan pemain yang bergerak sendiri ini tidak mempunyai fasiliti lengkap seperti mana pemain yang berada dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Semasa saya dan Chan Peng Soon sebelum layak ke Tokyo 2020, dalam masa satu tahun itu, kita perlu cari bantuan daripada MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan lain-lain. Sebab itu mereka perlukan bukan sekadar tempat berlatih yang privasi tetapi juga dari segi sokongan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kidslympic Malaysia 2025, hari ini.
Selain itu, bekas pemenang pingat perak di Rio 2016 itu menyifatkan penyediaan kelengkapan daripada pelbagai sudut seperti sains sukan, fisioterapi serta proses penginapan ketika bertanding di luar negara yang lebih mudah akan membantu mereka lebih fokus.
Dalam perkembangan berlainan, Liu Ying yang juga pengasas bersama Kidslympic Malaysia menyasarkan 5,000 penyertaan peserta pada temasya itu yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober depan membabitkan kategori bawah 12 tahun.