Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kurang konsisten punca gagal – Marhan

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Speedy Tigers, Marhan Jalil mengakui kekurangan dari segi mengekalkan konsistensi sepanjang kejohanan menjadi punca utama skuad negara gagal mencapai sasaran awal iaitu mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara.

Baginya, dalam setiap perlawanan mereka sudah memberikan yang terbaik malah berjaya menjaringkan gol untuk berada di hadapan.

Namun, sedikit kelalaian di suku ketiga dan keempat memberi ruang kepada lawan untuk bangkit dan menghukum mereka dengan jaringan.

“Ya, bagi saya, nak membezakan pasukan yang layak ke final dengan kita, mereka lebih konsisten dalam setiap perlawanan. Kita kena jadi seperti mereka, daripada minit pertama sehingga tamat perlawanan, kekal fokus.

“Kita perlu beri yang terbaik dan konsisten sepanjang empat suku. Walaupun kita mendahului 3-0, di suku keempat kita melepaskan gol. Perkara seperti ini perlu dikaji semula dan kami harus berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Selain itu, Marhan turut memuji komitmen serta semangat juang barisan pemain muda negara yang dilihat tidak mudah berputus asa setiap kali diberi peluang beraksi.

“Saya tak nafikan semua pemain, termasuk yang muda, sudah memberikan segalanya. Walaupun ketinggalan, kita tetap cuba bangkit (mencari gol). Ada yang mengalami kecederaan tetapi masih teruskan demi pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai dua lagi kejohanan utama tahun ini iaitu Piala Asia di India dan Piala Sultan Azlan Shah, pemain berpengalaman itu berharap pemain senior dapat terus membimbing pemain muda supaya mereka cepat menyesuaikan diri dengan intensiti di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh skuad Speedy Tigers.

Terdahulu, impian skuad hoki negara untuk menamatkan saingan Piala Negara-Negara sebagai pasukan kelima terbaik tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Wales dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.