Langkawi: Pelayar Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam sukar digugat apabila muncul juara kelas Laser Radial (ILCA 7) pada Kejohanan Pelayaran Remaja Antarabangsa Langkawi (LIYSC) Ke-4 2025 di sini, hari ini.
Pemenang pingat gangsa sukan pelayaran buat negara di Sukan Asia ke-19 Hangzhou, China dua tahun lalu itu mengumpul enam mata meninggalkan pencabar terdekat Kenan Tan dari Singapura (11 mata).
Tempat ketiga disandang atlet pelayaran Terengganu, Ahmad Farel Arham dengan catatan 22 mata.
Ketika ditemui atlet berusia 19 tahun itu mengakui gembira apabila meraih kejayaan dalam kelas perlumbaan yang baharu diceburinya ILCA 7, selepas tahun lalu bersaing dalam kelas ILCA 6.
“Pada kejohanan tahun lalu, saya muncul sebagai juara dalam kelas ILCA 6, namun kali ini saya mencabar diri untuk bersaing dalam kelas ILCA 7 menentang musuh tradisi saya, pelayar Singapura, Kenan Tan.
“Kali ini, keseluruhannya saya bersaing dalam tujuh perlumbaan dan menang enam daripadanya, mengatasi Kenan (Tan),” katanya yang turut berdepan cabaran angin perlahan sepanjang kejohanan.
Muhammad Fikri Aqil Mohd Fouzi juga atlet dari Terengganu muncul juara baharu kelas Laser Radial (ILCA 6) Lelaki selepas mengumpul 9 mata.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang atlet Singapura, Asher James Nair (19 mata) dan Gordon Allan (22 mata).
Seorang lagi pelayar Terengganu, Nur Faarihah Abdul Rani mengungguli ILCA 6 Wanita selepas mengumpul sembilan mata, mengatasi Zeti Irdina Zainal (Sabah, 15 mata) di tempat kedua dan Puteri Aleya Salimi (Perlis, 17 mata) ketiga.