Kajang: Thailand selaku tuan rumah bagi temasya Sukan Sea Disember depan dilihat menjadi ancaman utama skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara yang diletakkan sasaran untuk mara ke pentas final temasya dwi tahunan itu.
Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mohd Azmir Zanul Abdin berkata, sasaran awal itu dilihat realistik jika mengambil kira persiapan dan kekuatan pasukan lelaki negara ketika ini.
Namun, katanya, Thailand dilihat melakukan persediaan cukup rapi berbanding skuad negara dalam usaha mereka untuk menyambar pingat emas.
“Jika melihat kepada rekod lampau, bagi pasukan lelaki kami sasarkan sekurang-kurangnya dapat melangkah ke final dan ia adalah sasaran yang sentiasa kami letakkan sebelum ini.
“Sama ada pasukan negara mampu memenangi emas atau tidak, ia bergantung kepada apa yang mampu kita capai bermula sekarang sehingga hujung Oktober nanti.
“Kita akan mengadakan beberapa siri perlawanan ujian dan di situ adalah penilaian terbaik untuk melihat kesediaan pasukan untuk beraksi di Sukan Sea.
“Persaingan dijangka sengit tahun ini. Saya rasa Thailand sebelum ini tak terlalu serius. Tapi sebab tahun ini mereka tuan rumah, mereka sudah mula berlatih sejak dua tahun lalu.
“Jadi mereka ada kelebihan, bukan saya kata mustahil untuk kita capai pingat emas, tapi saya rasa wajar untuk tidak beri terlalu banyak tekanan kepada pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara KRM dan Agym Nutrition Sdn Bhd, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agym Nutrition, Hafiz Khalim, hari ini.
Menerusi perjanjian itu, produk makanan suplemen yang dikeluarkan Agym Nutrition akan digunakan oleh barisan pemain ragbi negara sepanjang tempoh perjanjian awal selama setahun.
Skuad ragbi 7s negara pernah melakar sejarah memenangi emas buat kali pertama di Sukan Sea ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.
Namun, mereka gagal mempertahankan kejuaraan itu selepas tumpas di tangan tuan rumah Sukan Sea 2019 iaitu Filipina.
Selepas itu, acara ragbi 7s tidak dipertandingkan pada dua edisi Sukan Sea berikutnya iaitu di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023.