Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani berazam untuk menampilkan prestasi cemerlang sekali gus menamatkan kemarau emas di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang bakal berlangsung di Brunei dari Selasa sehingga 19 Jun ini.
Jelasnya, dia kini berada pada tahap motivasi terbaik selepas memenangi pingat perak di Kejohanan Karate Asia (AKF) di Uzbekistan bulan lalu dan melihat SEAKF sebagai medan terbaik untuk dirinya meneruskan momentum itu, sambil menilai persiapan serta kekuatan pasukan lawan yang akan menyertai Sukan Sea Thailand nanti.
“Saya belum pernah menang emas di SEAKF, jadi kali ini saya benar-benar mahu menamatkan kemarau itu.
“Selain itu, SEAKF adalah kejohanan penting sama seperti Sukan Sea yang bakal berlangsung hujung tahun ini. Ini adalah peluang terbaik untuk kami mengkaji kekuatan lawan lebih awal.
“Ada negara yang akan menghantar atlet pelapis, ada juga yang membawa atlet berpengalaman. Jadi, ia penting untuk kami mengumpul maklumat dan pengalaman bersaing dengan atlet serantau,” katanya.
Atlet kelahiran Selangor itu sebelum ini pernah memenangi pingat perak acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada edisi 2023 di Manila, manakala tahun lalu pula membawa pulang gangsa di Bangkok.
Justeru, Shahmalarani menyedari dirinya turut berada dalam senarai lawan yang mahu ditewaskan, namun dia sudah bersedia untuk berdepan situasi sedemikian.
“Saya tahu ramai yang akan cuba tewaskan saya, itu perkara biasa dalam mana-mana sukan. Jadi, saya perlu lakukan yang terbaik. Memang ada tekanan, tetapi itu juga biasa dalam sukan, terutama dalam seni mempertahankan diri,” katanya.