Putrajaya: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk tidak menyertai program Road To Gold (RTG) bagi persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Jelas Hannah, meskipun Zii Jia memilih untuk tidak berada dalam program RTG, pintu sentiasa terbuka buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu untuk menukar keputusan berkenaan.
“Lee Zii Jia tidak menyertai program atas alasan tersendiri. Jadi, kita hormati keputusan Lee Zii Jia,” katanya pada sidang media RTG di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.
Untuk makluman, Jawatankuasa RTG membuka ruang serta peluang buat atlet yang layak termasuk Zii Jia untuk berada dalam program berkenaan, namun ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan akhir.
Sebelum ini, Zii Jia juga pernah membuat keputusan yang sama iaitu menolak program RTG pada 2023.
Selain Zii Jia, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut belum membuat keputusan akhir dan sesi perbincangan antara wakil Jawatankuasa RTG bersama pemain sedang dilakukan bagi mencapai kata putus yang terbaik.
Sementara itu, dalam kenyataan berlainan, Team LZJ mengeluarkan kenyataan dengan mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa RTG kerana memberi peluang untuk Zii Jia berada dalam projek pingat emas di Olimpik tersebut.
Katanya, perbincangan sentiasa berlaku antara Zii Jia serta pihak pengurusan dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menolak penyertaan dengan cara baik untuk berada dalam program berkenaan.
“RTG ialah program dikhaskan untuk yang terbaik dalam negara, dan memandangkan Zii Jia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaannya, kami merasakan bantuan sewajarnya daripada program ini wajar diberikan kepada rakan atlet lain yang lebih layak pada ketika ini,” menurut kenyataan itu.