Putrajaya: Pemain skuasy negara, S Sivasangari tampil sebagai atlet skuasy pertama negara menyertai Program Road To Gold (RTG) dalam usaha menjelmakan pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Sivasangari dipilih ke dalam program RTG selepas dia berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selain dibantu dengan beberapa pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa.
Selain itu, Hannah turut memaklumkan beberapa lagi atlet yang menyertai RTG seperti pemain badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Selain itu, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta badang negara, Mohamad Aniq Kasdan turut tersenarai dan menjadi harapan negara di LA28 nanti.
“Harapan kita adalah semua atlet ini akan kekal dalam senarai RTG dan akan terus meningkat kerana sekarang berada dalam ranking 10 terbaik.
“Akan tetapi menjelang 2028, kita akan melihat empat atau lima terbaik, baru ada peluang untuk dapatkan pingat emas,” kata pada Sidang Media RTG di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.
Tambah Hannah, segala permohonan daripada atlet seperti pendedahan serta latihan termasuk peralatan sukan, Jawatankuasa RTG akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan perkara itu terlaksana.
Pada perkembangan yang sama, Hannah turut menyatakan bahawa kerajaan terus komited untuk membantu atlet negara bagi memastikan prestasi mereka sentiasa berada di tahap terbaik termasuk mendapatkan jurulatih yang mempunyai reputasi dalam bidang berkenaan.
Selain itu, Sivasangari memaklumkan penyertaannya dalam program itu sangat penting memandangkan dia berlatih di luar negara dan memerlukan sokongan daripada pelbagai sudut terutama kewangan untuk meneruskan persiapan ke Olimpik.
“Penyertaan dalam program ini amat penting bagi saya kerana ia memberikan sokongan kewangan, terutamanya kerana saya berpangkalan di luar negara dan sedang membuat persiapan ke Olimpik.
“Semua pemain sedang berusaha ke arah Olimpik dan berada dalam program ini memberi kelebihan besar kepada kami untuk mendapatkan perkara yang benar-benar kami perlukan,” kata Sivasangari.