Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik mencipta sejarah baharu buat kem badminton negara apabila mereka kini secara rasmi berada di kedudukan nombor satu dan dua dunia.
Melalui kemas kini daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sze Fei–Izzuddin terus kekal di takhta nombor satu dunia buat minggu ketiga berturut-turut dengan mengumpul 91,090 mata.
Sementara itu, Aaron–Wooi Yik yang tersingkir awal di Terbuka Indonesia berjaya mendaki satu anak tangga untuk berada di kedudukan nombor dua dunia selepas mengumpul 89,870 mata, dan hanya dipisahkan 1,220 mata dengan rakan senegara.
Perkara itu dibantu selepas bekas juara dunia itu mempamerkan prestasi cemerlang sebelum ini termasuk ke pentas akhir tiga kali berturut-turut dengan meraih dua kejuaraan.
Selain beregu lelaki negara, beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah turut mencipta rekod baharu dalam karier mereka apabila berjaya melonjak ke tangga ketiga dunia (86,066 mata) selepas ia dibantu dengan prestasi cemerlang ke final pada Terbuka Indonesia Ahad lalu.
“Buat pertama kali dalam sejarah badminton negara, dua beregu lelaki Malaysia menduduki dua kedudukan teratas dalam ranking dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik di tempat kedua.
“Dalam kategori beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah turut mencatat pencapaian terbaik kerjaya mereka apabila naik ke ranking ketiga dunia,” kata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan rasmi di media sosial milik mereka, hari ini.
Melihat prestasi semasa gandingan negara itu, ia memberi gambaran cukup positif buat kem negara menjelang Kejohanan Dunia BWF 2025 di Paris, Perancis nanti.
Selain itu, beregu lelaki yang sedang berada dalam momentum terbaik, Tee Kai Wun–Man Wei Chong kekal di tangga ketujuh dunia (71,843 mata), sementara beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei turut kekal di ranking keempat dunia (83,383 mata).
Namun, pasangan suami isteri, Goh Soon Huat–Shevon Lai pula ditolak ke tangga keenam dunia (78,448 mata).
Untuk pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turun enam anak tangga ke kedudukan ke-21 dunia selepas tidak menyertai beberapa kejohanan sejak mengalami kecederaan.
Namun, pemain kelahiran Kedah itu mendapat perlindungan ranking daripada BWF, yang mana ia akan melindungi ranking asal pemain agar mereka boleh mendaftar bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila kembali cergas.