Putrajaya: Tindakan tuan rumah melancarkan serangan psikologi dengan ‘mengejek’ beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong pada aksi separuh akhir Terbuka Indonesia ternyata memberi impak kepada prestasi wakil negara itu.
Pengarah Kejurulatihan Badminton Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, beliau mengakui perkara itu mempengaruhi permainan Kai Wun-Wei Chong namun itu bukan alasan utama mereka gagal ke pentas final selepas tewas kepada lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi 18-21, 21-12, 18-21 dalam tempoh 60 minit pada perlawanan di Istora Senayan.
Katanya, situasi seperti itu sering terjadi di dalam pelbagai jenis sukan namun yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana seseorang itu mengawal tekanan yang diterima ketika perlawanan sedang berlangsung.
“Saya sempat berbincang dengan Kai Wun-Wei Chong. Memang mereka akui terasa terganggu. Tapi saya tak boleh buat apa-apa. Kita kecewa bukan sebab mereka kalah, tapi kerana mereka tak dapat kawal situasi itu.
“Sebagai atlet, memang kita tak boleh lari daripada tekanan. Itu hak penonton untuk melakukan perkara itu dan kita tidak boleh halang perkara itu daripada terjadi.
“Apa yang kita lihat dalam sukan lain seperti dalam sukan bola sepak juga terjadi. Jadi, pemain kena bersedia bukan saja dari segi kemahiran, tapi juga mental. Itu yang kita sedang fokus dalam program RTG (Road To Gold) sekarang,” katanya selepas sidang media RTG.
Selain itu, perubahan angin di dalam stadium juga dilihat memberi cabaran kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan pantas agar dapat mengawal pukulan bola dengan lebih baik.
“Bukan saja penonton, suasana gelanggang pun beri kesan. Tahun ini Istora ada drift, dan pemain seperti Anders Antonsen (Denmark) sendiri tanya kepada kami arah angin sebelum perlawanan. Ini semua faktor yang pemain kita perlu bijak mengawal keadaan (angin),” katanya.
Terdahulu, pada aksi separuh akhir Sabtu lalu, jelas kedengaran penonton Indonesia akan mengejek atau ‘boo’ setiap kali Kai Wun-Wei Chong ingin melakukan servis dan tindakan itu menyebabkan wakil negara hilang fokus pada awal permainan set ketiga dan terpaksa akur tidak berjaya mengulangi aksi ke final seperti tahun lalu.