Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pintu RTG masih terbuka buat Zii Jia

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa pintu Program Road to Gold (RTG) kekal terbuka kepada mana-mana atlet profesional, termasuk pemain badminton negara, Lee Zii Jia, yang memilih untuk tidak menyertai program itu bagi kitaran 2025.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata komitmen kerajaan menerusi RTG adalah untuk membantu semua atlet yang mempunyai matlamat sama iaitu memburu pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik.

“Pintu RTG sentiasa terbuka untuk beri sokongan kepada atlet kita. Kalau bukan tahun ini, mungkin tahun depan atau sebelum 2028, mana-mana atlet pro boleh terus berhubung dengan kita.

“Kita tak kira sama ada mereka dari BAM atau atlet profesional. Kalau mereka setuju dengan bentuk sokongan yang kita tawarkan, kita sedia untuk berbincang,” katanya dalam sidang media RTG di Menara KBS, hari ini.

RTG adalah inisiatif bersepadu KBS dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), yang menumpukan kepada sokongan teknikal, sains sukan dan kebajikan atlet elit negara bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.