Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pearly-Thinaah mampu hadiah pingat Olimpik

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak optimis anak didiknya, Pearly Tan-M Thinaah bakal menjadi pesaing utama pada Sukan Olimpik Los Angeles (LA28) sekali gus menjelmakan pingat meskipun hala tuju mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum ada kata sepakat.

Bagi Rosman, apa yang penting ketika ini adalah membina momentum itu untuk jangka masa panjang dan memastikan mereka terus berada pada tahap terbaik sekali gus sentiasa menampilkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan disertai.

Katanya, sejak membimbing beregu nombor empat dunia itu, Pearly-Thinaah sudah membuktikan keupayaan dan peningkatan prestasi membanggakan selepas muncul juara Terbuka Thailand, separuh akhir Masters Malaysia, suku akhir Terbuka Singapura dan naib juara Terbuka Indonesia.

“Ya, sasaran utama masih LA28 dan sebab itu BAM ambil saya semula. Saya kekal komited kepada matlamat itu.

“Menjadi pemain utama bukan sesuatu yang mudah. Banyak faktor boleh menjejaskan prestasi. Tugas saya ialah bantu mereka urus semua latihan, kehidupan dan tekanan,” kata Rosman.

Untuk rekod, kedua-dua pemain itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM sejak tamat pada Disember lalu dan itu menimbulkan pelbagai dakwaan seperti Pearly-Thinaah akan meninggalkan badan induk berkenaan untuk bergerak secara profesional.

Namun begitu, biarpun dihimpit dengan pelbagai isu luaran, Pearly-Thinaah tetap menunjukkan sikap beretika yang tinggi dengan memberikan komitmen dalam latihan serta di gelanggang.

Dalam pada itu, Rosman memaklumkan bahawa setiap kejohanan mempunyai cabaran tersendiri kerana hampir setiap atlet yang berada di dalam ranking terbaik dunia akan menyertai pertandingan itu.

“Bagi saya, sama ada ia kejohanan Super 500, 750 atau 1000, semuanya ada tekanan yang sama kerana ia turut disertai pemain elit yang sama dalam setiap peringkat. Tak boleh kata Super 500 lebih mudah berbanding 750 atau 1000,” katanya.