KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menegaskan fokusnya untuk membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) langsung tidak terganggu meskipun dipalit isu babitkan beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Rosman yang kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada November tahun lalu berkata, beliau komited dengan objektif ditetapkan badan induk itu selain tugas membentuk skuad beregu wanita negara yang kompetitif di peringkat dunia.
“Matlamat saya tetap sama iaitu LA28. Itulah sebab saya dilantik oleh BAM. Selagi tidak ada perubahan dalam peranan saya, saya akan terus menumpukan sepenuh perhatian kepada objektif ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Menurut Rosman, pembangunan skuad beregu wanita negara tidak boleh hanya bergantung kepada satu pasangan sahaja sebagai contoh Pearly-Thinaah yang ketika ini menduduki ranking keempat dunia.
“Jika kita hanya memberi tumpuan kepada Pearly dan Thinaah sahaja, tekanan terhadap mereka akan menjadi terlalu tinggi. Kita perlu pastikan semua pasangan lain juga dibangunkan secara menyeluruh,” katanya.
Antara pasangan lain kata Rosman, termasuk Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, Ong Xin Yee-Carmen Ting selain pasangan remaja berbakat Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu dan Valeree Siow-Low Yeen Yuan.
“Saya melihat perkembangan positif dalam kalangan pemain pelapis. Mereka kini lebih konsisten dan menunjukkan potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Walaupun jurang mereka masih jauh berbanding gandingan utama, kita harus berikan peluang untuk mereka naik ke tahap seterusnya.
“Saya mahu membina keseluruhan skuad beregu wanita agar kita sentiasa ada pilihan, dan tidak berdepan masalah jika satu pasangan utama berdepan cabaran,” katanya.