PUTRAJAYA: Seramai 13 atlet kebangsaan disahkan menyertai Program Road to Gold (RTG) dan Fast Track bagi kitaran 2025 selepas Jawatankuasa RTG mengadakan mesyuarat kali kedua tahun ini untuk memuktamadkan permintaan serta senarai akhir atlet terbabit.
Mesyuarat yang berlangsung di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini turut membincangkan tiga agenda utama iaitu permintaan daripada jurulatih dan persatuan sukan, maklum balas daripada atlet, serta tinjauan penggunaan bajet berdasarkan keperluan dibentangkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata jawatankuasa meluluskan permohonan yang berkait rapat dengan sokongan prestasi atlet, manakala permohonan lain akan dibincang secara lanjut oleh Sekretariat RTG bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), atlet, jurulatih dan persatuan terbabit.
Senarai atlet yang telah disahkan menyertai Program RTG 2025 termasuk lapan pemain badminton – Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan S Sivasangari (skuasy).
Bagi Program Fast Track pula, empat atlet disenaraikan iaitu Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil dari sukan memanah, serta pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow.
Pemain skuasy wanita negara, Sivasangari diserap ke dalam RTG berdasarkan kedudukan semasa ranking dunianya.
Hannah menambah, penyertaan empat pemain badminton profesional Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat dan Shevon Lai masih belum dimuktamadkan susulan komitmen pertandingan dan jadual perjalanan.
“Penyertaan mereka hanya akan dimuktamadkan selepas pertemuan bersama pihak sekretariat diadakan dalam masa terdekat,” katanya.