KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui mereka masih mencari rentak diperlukan biar pun berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Indonesia 2025.
Tang Jie-Ee Wei yang kembali bergandingan di Terbuka Singapura minggu lalu mara ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 1000 itu selepas menewaskan gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 21-11, 16-21, 21-14 dalam tempoh 59 minit, hari ini.
“Agak sukar di gelanggang kerana kami masih belum temui rentak. Namun kami hanya percaya antara satu sama lain,” kata Ee Wei ketika ditemubual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.
Perlawanan menentang Dhruv-Tanisha adalah yang pertama buat Tang Jie-Ee Wei dan bagi mereka, gandingan ranking ke-17 dunia itu mempunyai kelebihan tersendiri.
“Saya rasa Tanisha sentiasa menjadi lawan yang sukar. Sangat agresif dan mempunyai fizikal manakala Kapila adalah seorang pemain yang mempunyai skil.
“Bagi kami, kami teruja dan hanya perlu konsisten di gelanggang. Seperti Ee Wei katakan, kami masih sedang mencari rentak. Apapun, kami perlu percaya antara satu sama lain dan seterusnya kami boleh capai (yang lebih baik),” kata Tang Jie.
Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu Mads Vestergaard-Christine Busch di pusingan kedua esok selepas gandingan Denmark itu menewaskan gandingan India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh 21-15, 21-9.
Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan ranking ke-23 dunia dari Denmark itu selepas memperoleh kemenangan dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini.
Kali terakhir kedua-dua beregu ini bertemu adalah di pusingan pusingan kedua Terbuka Jepun 2024 dengan ketika itu Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan straight set 21-13, 21-13.